Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Komander Esscom Puas Hati Kerjasama Semua Pihak Berkepentingan Di Esscom

1:46pm 22/12/2015 Pak Roshan 40 views Lahad Datu,Mutakhir,Tempatan

abdul rashid

LAHAD DATU : Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Abd Rashid Harun berkata, beliau berpuas hati dengan tahap kerjasama yang diberikan semua pihak berkepentingan sepanjang beliau menerajui pengoperasian keselamatan agensi itu.

Beliau berkata kerjasama erat antara semua pihak membabitkan pasukan penguatkuasaan, keselamatan dan masyarakat setempat khasnya di Kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) telah dapat memastikan keamanan dan kedaulatan negeri terus terpelihara.

Katanya, kerjasama erat berkenaan juga berjaya dicapai atas prinsip saling memahami tugas dan peraturan pasukan penguatkuasaan dan keselamatan serta memahami masalah dan tanggungjawab masing-masing bagi merealisasikan hasrat memastikan keselamatan terus terjamin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga keselamatan dan penguatkuasaan serta semua masyarakat di timur Sabah yang telah membantu Esscom untuk mencapai hajat memastikan kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan di kawasan ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Perpisahan Komander dan CEO Esscom di Padang Pasukan Polis Marin, Lahad Datu, di sini hari ini.

Menurut Abd Rashid sepanjang berada di Esscom beberapa perkara telah dilaksanakan oleh Esscom antaranya Ops Gasak, Ops Bersepadu dan Ops Gasak Laut yang tidak dilaksanakan sesuka hati tetapi berdasarkan maklumat yang diterima hasil risikan pertahanan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Esscom, Ruji Ubi mahu kerjasama yang ditunjukkan masyarakat kepada Esscom diteruskan dengan pimpinan Esscom yang baharu bagi memastikan elemen-elemen yang mengganggu gugat keselamatan dapat dihapuskan.

“Tanpa kerjasama penduduk setempat usaha untuk menjaga kedaulatan negara akan menghadapi kesulitan dan masyarakat perlu terus memahami peranan dan tanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Datuk Abd Rashid dinaikkan pangkat menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah berkuatkuasa 23 Disember ini dan tempatnya akan digantikan SAC Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Ruji Ubi pula dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Negeri Sabah berkuatkuasa 16 Disember dan digantikan oleh Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan sebagai CEO Esscom yang baharu.

–BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan