Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Komander Abu Sayyaf mati ditembak

RAMLI (tengah) menunjukkan senjata api yang digunakan suspek dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang menembak pasukan keselamatan pada sidang media di Lahad Datu, hari ini. – Foto Ainul Durmahyanty Durming

 

LAHAD DATU: Lelaki yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan di perairan laut Silam, Lahad Datu, awal pagi tadi, dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) berpangkat komander.

Abu Paliyak, 31, atau lebih dikenali sebagai Komander Paliyak @ Yusuf ditemui mati di atas bot dipandunya dengan beberapa kesan tembakan di tubuhnya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, siasatan mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar 2014.

“Pemeriksaan ke atas badan suspek mendapati ada hampir sembilan parut lama dipercayai kesan tembakan dan terkena bahan letupan di paha kanan, perut dan lengan kanan.

“Jari tengah kiri suspek juga dikesan putus berikutan kecederaan lama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, dan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Yazib Abdul Aziz.

Ramli berkata, suspek dipercayai adalah tali barut kes culik untuk tebusan (KFR) didalangi kumpulan Remy yang aktif melakukan jenayah rentas sempadan di selatan Filipina dan pantai timur Sabah.

“Suspek dipercayai keluar ke laut bagi membuat pemerhatian pergerakan pasukan keselamatan dan menyalurkan maklumat itu kepada kumpulan KFR bagi melakukan jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan saki-baki tali barut dan ahli kumpulan yang masih bebas,” katanya.

Ramli berkata, ketika kejadian, pasukan keselamatan merangkumi pasukan khas ESSCOM dan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu yang menjalankan rondaan di perairan Pulau Kantong Kalungan, di sini, mengesan bot dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila dihampiri, pemandu bot tiba-tiba memecut dan melepaskan satu das tembakan, menyebabkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan balas.

“Selepas beberapa minit, polis menghampiri bot suspek dan seorang lelaki ditemui terbaring dalam bot berkenaan dengan kesan tembakan,” katanya.

Katanya, pemeriksaan menemui selaras senapang patah yang diubah suai bersama sebutir kelongsong peluru dan sebutir peluru 12 bore.

Ramli berkata, kejadian suspek ditembak mati membawa kepada penyelesaian beberapa kes rompakan di laut dan penculikan dalam kawasan ESSZONE pada 2014 dan 2015. – BH ONLINE

RAMLI (tengah) menunjukkan senjata api yang digunakan suspek dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang menembak pasukan keselamatan pada sidang media di Lahad Datu, hari ini. – Foto Ainul Durmahyanty Durming

Komen


Berita Berkaitan