Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,669

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

KOM tetap iktiraf rekod 10.29s milik Badrul

10:28am 31/12/2015 Pak Roshan 216 views Mutakhir,Sukan

badrul

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan pihaknya tidak boleh melakukan sebarang tindakan berhubung isu kontroversi yang membabitkan rekod kebangsaan acara 100 meter milik Badrul Hisyam Abdul Manap setakat ini.

Perkara itu termasuk menarik balik rekod kebangsaan 10.29 saat serta menentukan kesahihan rekod kebangsaan Badrul yang dilakukan di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Bandar Sri Begawan Brunei sebelum ini sekiranya terbukti ada kesilapan teknikal.

Ia berhubung laporan media elektronik tempatan yang mendakwa rekod kebangsaan Badrul dianggap tidak sah berikutan kegagalan penganjur di Brunei mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Antara yang tidak dipatuhi adalah alat pengukur angin yang tidak berada di garisan 50 meter (m) selain tiada bukti ‘photo finish’ di mana kedua-dua aspek itu wajib ada untuk mendapat pengiktirafan IAAF.

“Selagi KOM belum mendapat apa-apa dokumen lengkap daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ataupun laporan Persatuan Olahraga Brunei (BAA), kita tidak boleh membuat apa-apa.

“Sekiranya ingin melakukan aduan ia harus dibuat oleh KPM kerana mereka terbabit dalam ASG,” kata Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, Yang Dipertua Persatuan Olahraga Brunei Darussalam (BAA), Awang Kifli Jaafar turut meminta Malaysia membuat aduan rasmi mengenai dakwaan Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN pada bulan lalu yang tidak mengikut peraturan persekutuan terbabit.

Sebagai rekod, Badrul Hisham mencipta sejarah apabila memecah rekod kebangsaan 100m di kejohanan itu menerusi catatan 10.29 saat, sekali gus memadam rekod 10.30s yang dipegang Watson Nyambek selama 17 tahun.

Karim berkata pegawai teknikal sukan KPM yang berada di temasya sukan terbabit sepatutnya menyediakan laporan penuh pencapaian atlet negara sebaik saja kejohanan itu berakhir dan makluman perlu dikemukakan termasuklah memaklumkan butiran lengkap pencapaian mereka bagi membolehkan Majlis KOM mengesahkan rekod berkenaan.

Mengulas lanjut, Karim dengan nada menyokong atlet itu berkata, Badrul tetap manusia terpantas di negara ini.

“Bagi saya Badrul adalah orang paling pantas di Malaysia… kena ingat rekod dunia pun memakan masa enam bulan untuk disahkan,” katanya.

Sementara itu, Badrul ketika dihubungi enggan mengulas lanjut isu terbabit kerana baginya ia masih belum mempunyai makluman rasmi serta hitam putih mengenainya. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan