Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kolej Vokasional Keningau ungguli pertandingan inovasi dunia

KOLEJ Vokasional Keningau, Keningau, Sabah berjaya memenangi empat pingat emas dan empat anugerah khas pada Pertandingan Inovasi Penciptaan Dunia di Seoul, Korea Selatan. – Foto Ihsan Kolej Vokasional Keningau

 

KUALA LUMPUR: Kolej Vokasional Keningau, Sabah meraih empat pingat emas dan anugerah khas inovasi dalam Pertandingan Inovasi Penciptaan Dunia (WIC) di Pusat Konvensyen – Dewan Seni Chung Mu, Seoul, Korea Selatan, semalam.

Kolej itu memenangi emas dan anugerah khas bagi penyertaan individu dan berkumpulan, sekali gus mengenepikan sembilan negara lain iaitu Amerika Syarikat, Filipina, Mesir, Sri Lanka, Taiwan, India, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Pingat emas masing-masing diraih menerusi tiga pensyarah iaitu Mohd Sirhajwan Idek, Saumon Maliki dan Sadzul Hamzasin serta seorang pelajar, Mohd Azley Jalday.

Mohd Sirhajwan mengungguli pingat emas kategori ‘Think Tales’, selain Anugerah Khas Persatuan Penciptaan Kreativiti Asia, manakala Saumon memenangi pingat emas menerusi projek ‘Pastry Dough Leveller’ dan Anugerah Khas Akademi Penciptaan Korea.

Terrence Fong yang menghasilkan projek `Mini Fogging’ pula memenangi pingat emas dan Anugerah Khas Persatuan Penciptaan Dunia.

Satu lagi pingat emas diraikan gandingan pensyarah dan pelajar, iaitu Sadzul dan Mohd Azley yang menggondol pingat emas dan Anugerah Khas Persatuan Penciptaan Dunia.

Dalam pada itu, Sirhajwan berkata, Kolej Vokassional Keningau diwakili masing-masing empat guru dan dua pelajar.

“Kami bukan saja membawa nama Kolej Vokasional Keningau, tetapi juga mewakili negeri dan negara tercinta.

“Alhamdulillah pada Ramadan yang mulia ini kami berjaya mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

“SMK Vokasional Keningau tidak akan berhenti berusaha untuk menghasilkan lebih banyak inovasi selepas ini dan kami mahu terus bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi WhatsApp kepada NSTP, hari ini.

Kementerian Pendidikan menerusi Facebook rasminya turut mengucapkan tahniah kepada kolej vokasional berkenaan atas kejayaan memenangi empat pingat emas dan anugerah khas inovasi sempena pertandingan WIC.

WIC menghimpunkan pencipta, pensyarah, pelajar, Profesor dan penyelidik anjuran Korea Invention News (KINEWS) dan Akademi Penciptaan Korea (KIA).

Tahun ini adalah kali keempat penganjuran WIC dan ia akan menjadi penghormatan dan keistimewaan kepada peserta menonjolkan daya kreativiti dan persaingan di peringkat dunia. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan