Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Klinik Kesihatan Tawau Jenis 2 Dapat Sambutan Menggalakkan Penduduk

6:25pm 17/10/2016 Pak Roshan 204 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

hospital-tawau

TAWAU : Klinik Kesihatan Tawau Jenis 2 di Jalan Datuk Chong Thien Vun, dekat Sin Onn di sini, yang memulakan operasinya hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.

Klinik itu yang mengambil alih perkhidmatan Jabatan Pesakit Luar Hospital Besar Tawau dan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang itu turut menyediakan perkhidmatan kecemasan.

Tinjauan Bernama pada hari pertama klinik itu beroperasi, kebanyakan pesakit yang ditemui melahirkan rasa puas hati dengan perkhidmatan klinik berkenaan serta berpendapat pembukaan klinik itu adalah terbaik dan sesuai.

Bagi Ketua Kampung Tinagat, Osman Hassan, sememangnya klinik yang disediakan kerajaan itu memberi kemudahan dan peluang kepada penduduk di sekitar daerah Tawau untuk mendapatkan rawatan dan khidmat kesihatan yang baik.

“Kita berharap penduduk memanfaatkan kemudahan ini sebaik-baiknya, walaupun masih terdapat beberapa kekurangan seperti ketiadaan sistem nombor giliran, namun kita faham dan percaya kekurangan itu akan diatasi sedikit demi sedikit,” katanya kepada Bernama di sini.

Osman yang datang bersama isterinya ke klinik berkenaan berkata pengasingan Jabatan Pesakit Luar dari Hospital Besar Tawau itu turut dapat menjimatkan masa pesakit dan tidak perlu menunggu terlalu lama bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ruzlan berkata, perpindahan klinik ini bertepatan dengan faktor pertambahan penduduk di Tawau.

Beliau berkata ekoran itu, jumlah pesakit luar yang mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tawau sebelum ini juga turut meningkat.

“Di Hospital Besar Tawau hanya terdapat empat bilik untuk merawat pesakit luar, tetapi di klinik baharu ini kita mempunyai 12 bilik dan semestinya kemudahan rawatan yang lebih luas ini dapat menampung permintaan rawatan daripada pesakit yang berkunjung,” katanya lagi.

Katanya, permasalahan seperti tempat letak kereta juga dapat diatasi.

Tinjauan mendapati Jalan Datuk Chong Thien Vun itu yang sebelum ini tidak dilalui pengangkutan awam seperti bas, hari ini dipenuhi dengan kenderaan itu untuk memberi kemudahan kepada orang awam yang datang ke klinik itu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata pewujudan Klinik Kesihatan Tawau Jenis 2 dilihat sebagai tanda komited Jabatan Kesihatan Negeri menyediakan penempatan baharu untuk perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata dengan adanya klinik baharu itu juga, ia dapat menampung beban kerja sedia ada, seterusnya menyahut dan merealisasikan seruan kerajaan untuk ‘merakyatkan perkhidmatan awam’.

“Penduduk daerah Tawau akan menerima perkhidmatan rawatan perubatan yang berkualiti dalam keadaan selesa, selain kemudahan disediakan dengan baik berbanding Jabatan Pesakit Luar di Hospital Tawau,” katanya dalam kenyataan.

Dr Christina berkata, masyarakat Tawau dan daerah sekitarnya boleh menghubungi talian hotline 089-775733 untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan operasi di Klinik Kesihatan Tawau Jenis 2.

— BERNAMA

hospital-tawau2

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan