Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,647

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

KKM Tetapkan Syarat Penggunaan Surat Khabar Bungkus Makanan

11:10am 26/12/2015 Pak Roshan 210 views Isu Semasa,Mutakhir

nasi-lemak-daun-pisang-1

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menetapkan beberapa syarat dalam membenarkan pengendali makanan menggunakan kertas surat khabar untuk membungkus dan menyediakan makanan dan kegagalan mematuhi syarat itu bakal berdepan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua tahun.

Kementerian mengambil maklum bahawa masih terdapat pengendali makanan menggunakan kertas surat khabar yang bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti untuk membungkus makanan, menutup makanan atau untuk menyerap minyak daripada makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara syarat ditetapkan termasuk hanya membenarkan surat khabar digunakan sebagai lapisan kedua untuk membungkus makanan yang sedia dimakan dan tidak bersentuhan secara langsung dengan makanan.

“Bahan pembungkus seperti plastik (lutsinar) atau daun pisang hendaklah digunakan sebagai lapisan pertama yang melindungi sepenuhnya makanan tersebut daripada bersentuhan secara langsung dengan kertas surat khabar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pembungkusan makanan sedia dimakan dengan surat khabar sebagai lapisan kedua juga hendaklah dikendalikan dengan kaedah yang dapat mengelakkan pencemaran dakwat daripada kertas surat khabar kepada makanan tersebut melalui apa jua cara.

“Contohnya, pencemaran boleh terjadi melalui tangan pengendali makanan yang telah menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudiannya menyentuh makanan sedia dimakan secara langsung,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kertas surat khabar hendaklah tidak digunakan bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti untuk menutup makanan atau menyerap minyak daripada makanan bergoreng.

Katanya, semua perkara tersebut tertakluk di bawah Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu seseorang pengendali makanan hendaklah mengendalikan makanan dan menggunakan perkakas dan bekas makanan tanpa bersentuhan secara langsung dengan apa-apa benda atau bahan yang boleh mencemarkan makanan itu.

Beliau menjelaskan menurut Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pengendali makanan yang menyediakan, membungkus atau menghidang makanan untuk dijual hendaklah memastikan penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran.

“Pengendali makanan juga harus memastikan pembungkus makanan menyediakan perlindungan yang secukupnya untuk hasil makanan bagi meminimumkan pencemaran dan mengelakkan kerosakan kepada hasil makanan itu.

“Mereka juga harus memastikan bahan pembungkus makanan bukan toksik dan cukup kuat untuk menahan koyak dan bocor. Kegagalan untuk mematuhi peraturan tersebut merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun,” kata beliau.

Beliau berkata, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Kesihatan sekiranya pengguna mendapati mana-mana pengendali makanan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan itu melalui Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau Facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan