Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,775

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

KKM Sangsi Biji Rambutan Ubat Kencing Manis

2:27pm 16/08/2016 Pak Roshan 670 views Mutakhir,Nasional

rambutan

KUALA LUMPUR – Tiada rujukan ilmiah menyatakan biji buah rambutan ubat terbaik untuk bebas daripada penyakit kencing manis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, biji buah rambutan dikatakan mempunyai kandungan lemak (saponin) yang tinggi dan merupakan toksik kepada manusia.

“Beberapa hari yang lalu telah timbul kenyataan bahawa ubat terbaik untuk bebas daripada penyakit kencing manis (diabetes) adalah dengan mengambil biji buah rambutan.

“Berdasarkan semakan rujukan ilmiah, tiada rujukan didapati menyatakan kegunaan tradisional atau perubatan biji rambutan untuk sebarang rawatan termasuk penyakit kencing manis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Noor Hisham berkata, kajian yang menyeluruh iaitu kajian praklinikal dan klinikal perlu
dijalankan sebelum sesuatu bahan berasaskan herba dapat membuat sebarang tuntutan perubatan dan keselamatan bahan tersebut adalah terjamin.

Katanya, oleh kerana tiada kajian keselamatan atau klinikal yang menyeluruh untuk menyokong keselamatan pengambilan biji rambutan, orang ramai digalakkan mendapat khidmat nasihat pegawai farmasi atau pegawai perubatan sebelum mengambil bahan atau produk berasaskan biji rambutan.

Tambah beliau, sehingga kini, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) belum pernah mendaftar produk dengan bahan aktif biji rambutan.

“Sesiapa yang ingin menjual/membekalkan produk dengan tuntutan kesihatan seperti ini adalah dinasihatkan untuk mendaftarkan produk tersebut dengan menghantar permohonan kepada Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kementerian Kesihatan memberi amaran bahawa memiliki, menjual atau membekal produk tidak berdaftar adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” – Mynewshub.cc

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan