Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

KKLW Setuju Bina Pusat Latihan KEMAS Di Keningau

8:15pm 18/09/2016 Pak Roshan 84 views Keningau,Mutakhir,Tempatan

kemas

KENINGAU – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bersetuju mewujudkan sebuah pusat latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Keningau, Sabah.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada masa ini pusat latihan seumpama itu cuma terdapat di Perak dan satu lagi bakal diwujudkan di Terengganu.

“Pusat Latihan Kemas itu kita akan masukkan dalam permohonan bajet tahun ini. Saya lihat kepada keperluan Sabah ini kerana tidak ada Pusat Latihan Kemas. Saya rasa, kalau tidak ada, mesti diadakan sebab agak sukar latihan ini dibuat di Kuala Lumpur dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pensiangan, Tenom dan Keningau di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pensiangan Datuk Abd Ghani Yassin, Bahagian Tenom (Datuk Rubin Balang) dan Bahagian Keningau (Datuk Sairin Karno).

Menurut Ismail Sabri dengan adanya pusat latihan seumpama itu, ia akan memudahkan anggota Kemas menghadiri atau menganjurkan sebarang latihan kerana ia lebih hampir dan boleh mengurangkan kos berbanding menghantar peserta latihan ke Semenanjung Malaysia.

Ismail Sabri berkata untuk tempoh jangka pendek, penubuhan pusat latihan seperti itu mungkin agak tinggi kerana ia melibatkan kos pembinaan namun untuk jangka panjang, ia lebih menjimatkan wang kerajaan.

Mengenai tumpuan projek KKLW pada tahun depan, Ismail Sabri berkata beliau telah mencadangkan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pojek berbentuk ‘touch point’ diperbanyakkan memandangkan ia akan memberi impak lebih cepat dan ketara kepada rakyat luar bandar.

Katanya projek ‘touch point’ iaitu projek kecil termasuk pembinaan jalan luar bandar seperti jalan ke kampung, jalan ke masjid, ke gereja, jalan ke tanah perkuburan dan sebagainya akan diberi keutamaan kerana ia merupakan kegunaan harian bagi penduduk luar bandar.

“Projek ‘touch point’ tidak perlu besar tetapi dapat disiapkan lebih cepat. Pembaikan rumah sebagai contoh, paling lama tiga bulan boleh siap malah mungkin sebulan tetapi kesannya kepada orang kampung amat besar,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kementeriannya akan membina beberapa jalan luar bandar di kawasan Pensiangan, Tenom dan Keningau. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan