Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kiulu, Tamparuli bakal dikenali sebagai hub pelancongan sukan lasak

Joniston (empat dari kiri), Jahid (dua dari kiri) melepaskan peserta larian.-PENERANGAN

TAMPARULI: Kiulu dan Tamparuli bakal dikenali sebagai hub pelancongan sukan lasak, kata Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata penganjuran Ruhiang Kiulu Adventure Challenge 2017(RUKIAC2017) merupakan sebahagian daripada usaha tersebut.

“Bagi golongan yang gemar sukan lasak seperti berlari, memanjat bukit, berakit dengan arus deras, berbasikal (mountain biking) dan pelbagai lagi aktiviti lasak lain boleh datang ke sini.

“Melalui acara RUKIAC2017, kita dapat lihat usaha menjadikan daerah ini sebagai lokasi penganjuran sukan lasak dan sukan lasak sebagai produk pelancongan membuahkan hasil.

“Kehadiran peserta dalam dan luar negara juga dapat memberi manafaat kepada penduduk terutama para peniaga di sekitar daerah ini,” katanya selepas melepaskan peserta larian RUKIAC2017, pada Ahad.

Tambah Joniston, STB sentiasa membantu para pengajur untuk mempromosikan acara sukan lasak melalui rangkaian mereka di dalam dan luar negara dalam usaha mendapat penyertaan daripada peserta-peserta luar negara.

Sementara itu, Pengarah Casero Events, Steve Johnny Mositun berkata pihak beliau mengalu-alukan lebih banyak sokongan daripada pihak swasta untuk meningkatkan kualiti pengajuran acara dan kuantiti penyertaan.

“Bagi menjadikan acara ini ke peringkat antarabangsa, kami amat mengalu-alukan sokongan daripada syarikat-syarikat swasta dan kerajaan bukan sahaja dari segi peruntukan tetapi juga melalui tenaga kerja bagi membantu melancarkan perjalanan acara.

“Pada tahun ini, kita mendapat sokongan daripada pelbagai pihak antaranya Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan, STB, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Ararat Sports & Souvenirs Sdn. Bhd. International Technology & Commercial Centre, Penampang, St John Ambulance dan banyak lagi,” jelasnya.

Penganjuran kali keenam itu menerima hampir 700 penyertaan termasuk dari luar negara antaranya dari Australia, Filipina, Singapura, Perancis, Kenya dan Indonesia.

Dua acara dipertandingkan iaitu laluan 10 km dan 23 km bermula dari Tamu Tamparuli, Bukit Ruhiang, Kamung Ruhiang, Ulu Bawang, Kampung Bawang, Kampung Kewoi, Kampung Lingga dan Kampung Togop.

Kedua-dua acara terbahagi kepada tiga kategori iaitu Lelaki Terbuka (10km) dimenangi oleh Elvin Lazarus, Wanita Terbuka, Marjilah Rebid, Lelaki Veteran, Yusop Tungkob, Wanita Veteran, Chong Vun Lung.

Bagi acara 23km pula, Kategori Lelaki Terbuka dimenangi oleh Wincentbert Latius; Wanita Terbuka, Hyenie Roslin Danius; Lelaki Veteran, Ruston Masri dan Wanita Veteran, Kona Liau.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Celestinus Lawanding serta Setiausaha Sulit Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Jeffry Teo. /PENERANGAN-

Jahid (tujuh dari kanan) bergambar kenangan bersama pemenang RUKIAC2017.-PENERANGAN

 

Komen


Berita Berkaitan