Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kita Dan Aleppo : 5 Usaha Kecil Demi Aleppo

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

“I hope you can do something…”
“The Assad is just 300 metres from us…”
“They want us to die…”
“They were celebrating our dead bodies…”
“I hope you can remember us…”

BOOM! BOOM! BOOM!

Saat kita sedang lena dalam mimpi-mimpi indah di atas tilam empuk, mungkin ada yang sedang aman menelaah di atas bangku dan meja yang kukuh, ada juga yang memikirkan soal menu sarapan pagi esoknya, ada suatu kawasan yang masyarakat dan seisi negerinya dimamah hidup-hidup oleh bedilan bom dan butir-butir peluru yang padu menusuk jasad-jasad tidak berdaya. Tidak perlu jangka masa yang pajang. Cukup dalam tempoh jam, minit dan saat tubuh mereka disembelih tanpa belas kemanusiaan.

Aleppo. Aleppo. Aleppo.

Aleppo, kota kedua terbesar di Syria merupakan sebuah bandar yang tidak henti-henti diserang dengan ujian keganasan tanpa belas kasihan dari Tentera Rejim Bashar. Suatu ketika dahulu, kisah Aleppo hangat di media sosial, media massa dan mulut-mulut mereka yang peduli dan cakna dengan hakikat kekejaman yang berlaku di bandar tersebut. Kemudian, seperti isu-isu keamanan dan kemanusiaan yang lain, khabar Aleppo makin sunyi diperkatakan. Isu cakna soal Aleppo hanya berlaku secara bermusim! Hanya ketika bom-bom ganas menghujani bandar dan darah merah masih hangat mengalir di bumi Syiria tersebut.

Kini, Aleppo yang berdarah kian parah apabila kawasan Timur yang dipegang oleh pejuang bersenjata dibedil oleh pihak rejim. Bahagian Timur Aleppo dibedil tanpa belas oleh Rejim Al Assad bemula dari November 2016 dan sehingga kini tanda-tanda untuk Aleppo surut dari korban darah masih lagi tipis kerana Rejim Al Assad dengan bantuan sekutu mereka, Russia telah menguasai peperangan.

Mesej-mesej dari penduduk Aleppo menerusi video di media sosial menggambarkan keadaan mereka yang semakin tenat untuk bertahan. Ternyata isu ini mendapat perhatian penduduk dunia terutamanya di laman sosial. Namun begitu, tidakah anda tertanya-tanya apakah usaha yang boleh kita laksanakan untuk membantu mereka di sana walaupun kita tidak dapat hadir secara fizikal untuk berperang dan menyelamatkan nyawa-nyawa yang tidak berdosa itu?

 

Berikut adalah usaha-usaha yang kita boleh lakukan untuk Aleppo.

1.USAH BERDIAM! SPREAD THE WORDS!

Usah berdiam soal Aleppo. Zahirkan peduli terhadap Aleppo melalui perbualan bersama teman-teman anda. Cerita dan hadirkan kisah Aleppo supaya mereka tahu kerana di luar sana, ada juga yang masih tidak tahu Aleppo itu adalah sebuah bandar yang sedang berdarah. Saat menyebut Aleppo ada pula yang ingat kita berbicara tentang snek Apollo! Ya Tuhan! Khabarkan mereka tentang Aleppo yang berdarah, uar-uarkan informasi sahih tentang Aleppo menerusi sumber sahih seperti whitehelmets.org atau badan-badan NGO terlibat.

Dari masa-masa yang anda selalu lapangkan untuk tonton video vine dan lawak hambar kurang cerdik, gunakan pula untuk tonton video-video penuh pengharapan dari saudara-saudara kita di Aleppo. Wujudkan keinsafan dengan video-video tentang Aleppo dan negara-negara bergolak yang ditindas. Rajinkan diri untuk menekan butang share dan retweet mengenai Aleppo. Banjirkan laman sosial dengan soal Aleppo yang memerlukan peduli kita semua. Zahirkan solidariti anda di media sosial dan jika berpeluang hadirlah dalam demonstrasi keamanan dan protes terhadap kekejaman yang berlaku di Aleppo. #StandWithAleppo ! #PrayForAleppo

2.MENGGESA MEREKA YANG BERKUASA!

Kita ini bukanlah pemimpin negara atau dunia yang suara kita mampu didengari dunia tetapi, suara-suara kecil kita mampu membuatkan mereka yang berkuasa memberi perhatian kepada isu Aleppo dan isu-isu kemanusiaan yang lain. Gesa mereka yang berkuasa seperti pemimpin dan pihak berkuasa untuk mula terbangkan bantuan kepada Aleppo menerusi khidmat “aid drops” bagi bantuan asas seperti makanan dan khemah untuk kem-kem pelarian yang bakal dibina di luar Aleppo.

Biarkan suara-suara kecil kita ini bergema menerusi email-email dan petisyen kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk memberi bantuan selain hanya berdengung-dengung membisik bantahan dan kritikan terhadap kekejaman yang berlaku. Usaha diplomasi mungkin hanya akan didengari jika dibisikkan oleh negara-negara berkuasa veto tetapi jika negara kecil kita bersekutu dengan negara-negara lain, sudah pasti suara kita akan terdengar walau hanya sayup-sayup. Paling tidak kita berusaha!

3.BERKONGSI REZEKI!

Di media sosial dan media massa kita sarat dengan misi bantuan kemanusiaan oleh NGO-NGO yang memberikan bantuan kepada rakyat Syria, jadi berkongsilah sebahagian atau seberapa yang anda mampu dari rezeki pendapatan anda untuk misi bantuan tersebut agar keperluan-keperluan yang perlu dibeli untuk mereka dapat dibeli dan disumbangkan dengan lebih pantas. Inilah ruangnya untuk anda berbahagi rezeki dan mensucikan pendapatan anda. Mereka amat memerlukan dan apa salahnya jika kita yang berkemampuan memberi semampu ada!

4.BERUSAHALAH UNTUK MENJADI LEBIH BAIK DAN TERUS MENYEBARKAN KEBAIKAN!

Menjadi manusia yang lebih baik dan cintakan kebaikan untuk terus tersebar dalam kalangan manusia-manusia disekelilingnya bukanlah suatu perkara yang pelik bahkan itulah yang bakal membantu kita. Hakikatnya, jika segenap manusia ini cintakan kebaikan dan berusaha ke arahnya, sudah pasti dunia kita aman dan tiada tumpahan darah atau korban nyawa.

Untuk menjadikan segenap dunia ini baik mungkin suatu cita-cita tanpa logika tetapi akan menjadi suatu usaha yang realistik sekiranya kita mulakan dengan diri kita terlebih dahulu. Perbaiki diri anda untuk menjadi manusia yang lebih baik kemudian tempiaskan pula kepada manusia di sekeliling anda. Murnikan akhlak dengan akhlak Islami sepanjang masa dan didiklah diri dan manusia sekeliling untuk saling hormat menghormati dan berkasih sayang. Manusia yang menghormati manusia lain dan penuh dengan kasih sayang jiwanya tidak mungkin akan bersekongkol dan mencintai peperangan.

Perbaikilah diri kita dengan amal-amal ruhiyyah (solat awal waktu, amalan tahajjud, selawat, zikir dan istighfar) yang dapat mendekatkan lagi diri kita dengan Tuhan yang menciptakan agar sekeping hati ini tidak keras untuk mengirim doa dan zikir kepada mereka yang memerlukan.

5.SENJATA MUKMIN KAMU!

Berdoalah kawan! Kenanglah mereka yang memerlukan di Aleppo dan segenap dunia yang ditimpa ujian ini dalam doa-doa kita. Berdoa itu bukan hanya sekadar usaha menadah tangan yang boleh kita pandang secara remeh kerana doa orang mukmin itu ibarat senjata paling berkuasa yang dijanji Allah. Namun, jangan dilupakan kemungkinan dosa-dosa menggunung kita telah menghalang tembakan doa kita untuk “kena” pada sasaran. Oleh itu, wujudkanlah ikhlas dalam hati agar satu dari beribu doa kita itu dimakbulkan.

Bilakah ikhlas akan muncul? Kita sendiri tidak tahu bila andai kita tidak terus mencuba! Teruslah berdoa tanpa henti. Berdoalah dengan sepenuh pengharapan dan dalam masa yang sama, mohonlah taubat atas segala dosa-dosa kita agar usaha kita untuk berdoa tidak seperti mencurah air di daun keladi! Rugi kalau kita terus berbuat baik tapi rupa-rupanya ada “hijab” yang menghalang.

Mereka di Aleppo memerlukan tembakan doa kita. Moga kita tidam lokek untuk menghantar doa-doa dalam tadahan harapan paling ikhlas dari hati. Moga Allah perkenankan doa-doa kita untuk dunia yang lebih aman, untuk Aleppo dibebaskan dari kekejaman manusiawi, agar jiwa-jiwa teruji itu diberi semangat dan kekuatan untuk sabar dalam ujian yang satu ini!

Kita dan Aleppo mungkin terpisah beribu batu dan terhalang dari bantuan secara terus tetapi itu tak menjadi alasan untuk kita tak berusaha! 5 usaha tanda cinta dan peduli kepada Aleppo dan segenap ummah yang diuji ini mungkin nampak biasa-biasa apabila dibaca tetapi akan bermakna apabila kita mula bergerak, melakukan usaha-usaha tersebut dan turut mengajak mereka di sekeliling untuk turut serta.

Anda mungkin ada usaha-usaha yang lebih efektif dalam misi membantu Aleppo serta seisi warganya. Jadi, jangan berlengah dan berjeda. Berusahalah! Berlarilah kepada Aleppo dalam usaha-usaha kita ini.

“To Save A Life Is To Save All Humanity” – White Helmets

Berjanjilah untuk bersama-sama membebaskan Aleppo dan negara-negera yang dilanda krisis yang sama, seiring memberi bantuan dari hanya mampu mendengar tangisan. Kita masih punya harapan!

Moga bermanfaat.
Moga Allah redha dengan usaha-usaha kita!

(QuranicGen.com, oleh Syiffa Rosman)

Komen


Berita Berkaitan