Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kisah Mimpi Yang Benar

Gambar Hiasan

 

Mimpi secara umumnya dianggap sebagai permainan tidur. Namun boleh jadi juga benar jika dikehendaki oleh Allah S.W.T. Contohnya mimpi yang pernah dialami oleh Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki.

Tahukah kita semua bahawa sebenarnya pernah direkodkan oleh ahli-ahli sejarah bahawa pernah terjadi satu ketika dahulu terdapat beberapa konspirasi jahat untuk mencuri jasad Rasulullah S.A.W yang mulia. Direkodkan pernah berlaku sebanyak dua kali percubaan jasad Rasulullah S.A.W ingin dicuri.

Salah satunya berlaku pada tahun 1164 (557 Hijrah) pada zaman Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki yang berasal dari Syam (Syria).

Kisahnya bermula bilamana Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki pada suatu hari telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Dalam mimpinya itu Rasulullah S.A.W telah berkata kepada Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki:

“Wahai Mahmud, selamatkanlah aku daripada mereka!”

Sambil Rasulullah S.A.W menunjukkan kepadanya dua orang lelaki yang berambut perang. Selepas itu Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki terjaga daripada tidurnya dalam keadaan panik.

Mungkin menganggap ianya hanyalah gangguan tidur, lantas baginda berdoa lalu kembali tidur. Tetapi baginda tetap mendapat mimpi yang sama lagi berulang kali sebanyak tiga kali.

Buntu akan mimpi yang dialami oleh baginda itu, kemudiannya baginda telah memanggil Perdana Menterinya iaitu Jamaluddin al-Mausili yang bukan sahaja alim malahan bijak orangnya, lalu diceritakan perihal mimpi baginda yang bertemu dengan Rasulullah S.A.W itu.

Pada pandangan Perdana Menteri Jamaluddin al-Mausili, kemungkinan mimpi Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki itu adalah benar, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai wajah Nabi Muhammad S.A.W.

Mendengar pandangan Perdana Menterinya itu, lantas Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki mengarahkan menterinya membuat persiapan dan persediaan untuk perjalanan ke Madinah. Baginda dan menterinya terus memulakan perjalanan ke Madinah bersama 20 orang pengawal dengan membawa barang-barang yang banyak.

Rombongan Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki itu mengandungi 1000 ekor unta yang membawa muatan barang-barang yang banyak. Dikatakan perjalanan dari Syam ke Madinahyang biasanya memakan masa selama sebulan perjalanan.

Namun rombongan Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki ini hanya mengambil masa selama 16 hari sahaja perjalanan. Sampai di Madinah, baginda terus menuju ke Masjid Nabawi dan terus melakukan solat.

Selepas itu baginda duduk termenung di sana kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan olehnya. Menteri yang bersama dengan baginda bertanya;

“Adakah baginda dapat mengecam kedua-dua lelaki yang ditunjuk oleh Rasulullah S.A.W dalam mimpinya itu?”

Dengan yakin Sultan Nuruddin Mahmud bin Zanki mengatakan bahawa baginda masih mengenali dengan jelas kedua-dua wajah lelaki itu. Apabila mendengar jawapan baginda itu, Menteri tersebut segera memanggil seluruh penduduk Madinah untuk datang menerima hadiah daripada Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki.

Dalam ramai-ramai penduduk Madinah yang datang itu, baginda masih tidak dapat mengecam dua orang lelaki tersebut di kalangan orang ramai yang datang pada hari itu. Sehinggalah orang ramai beransur pulang, masih lagi tidak kelihat kelibat dua orang lelaki tersebut. Bila baginda bertanya;

“Adakah lagi penduduk Madinah yang tidak hadir?”

Barulah baginda diberitahu bahawa hanya dua orang lelaki asing yang bukannya penduduk tempatan, tidak hadir pada hari tersebut. Lantas baginda pun mengarahkan agar kedua-dua orang lelaki asing itu dibawa berjumpa dengannya.

Alangkah terkejutnya baginda tatkala melihat kedua-dua orang lelaki asing itu dibawa menghadapnya. Kerana kedua-dua lelaki itulah merupakan lelaki yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W di dalam mimipinya.

Kedua-dua orang lelaki itu berperwatakan alim. Apabila disoal siasat, keduanya mengaku berasal dari Maghribi dan datang untuk mengerjakan Haji serta melawat Masjid Nabawi. Mereka berdua juga mengatakan bahawa mereka bercadang untuk tinggal di Madinah selama setahun.

Selepas soal siasat, baginda masih tidak berpuas hati lantas meninggalkan kedua lelaki tersebut bersama pengawalnya dan baginda terus ke rumah kedua lelaki tersebut untuk menyiasat. Kedua-kedua lelaki tersebut menyewa sebuah rumah yang tidak jauh dari Raudhah, berhampiran makam Rasulullah S.A.W.

Di rumah kedua-dua lelaki tersebut, baginda tidak menjumpai apa-apa bukti melainkan sejumlah wang yang amat banyak. Dengan kehendak Allah S.W.T, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki telah tersepak satu kepingan kayu. Apabila diangkat kepingan kayu itu, terbukalah terowong bawah tanah yang menghala ke arah makam Rasulullah S.A.W.

Apabila diselidiki, didapati rupa-rupanya terowong bawah tanah itu telah pun melepasi tembok dan dinding Masjid Nabawi. Lantas diarah kedua-dua lelaki tersebut ditangkap dan disebat sehingga mereka mengakui jenayah yang dilakukan dan menceritakan siapakah mereka sebenarnya.

Tidak tahan dengan sebatan yang diterima, akhirnya mereka berdua menceritakan bahawa mereka adalah orang Kristian yang menyamar sebagai orang Maghribi yang datang dari Andalusia, Sepanyol. Mereka datang menyamar sebagai jemaah haji Maghribi.

Tujuan mereka berdua datang ke Madinah adalah untuk mencuri jasad Rasulullah S.A.W dan memindahkan jenazah Rasulullah S.A.W daripada makamnya di Madinah. Mereka berdua dibekalkan dengan wang yang banyak dan diarahkan untuk menggunakan segala peluang yang ada untuk mengambil jenazah Rasulullah S.A.W untuk dibawa pulang bersama mereka.

Terlebih dahulu mereka berdua perlu mengaburi mata masyarakat di Madinah dengan berlagak seperti orang alim dan sentiasa datang ke Masjid Nabawi untuk melawat serta bersolat di dalamnya.

Selain itu mereka turut berlakon menjadi orang yang pemurah dengan memberi sedekah kepada fakir miskin dan selalu menziarahi perkuburan Baqi’. Ternyata lakonan mereka berdua itu berjaya memperdayakan orang ramai terutamanya penduduk Madinah.

Mereka berdua juga menceritakan bahawa mereka menggali terowong bermula dari rumah sewa secara rahsia hingga ke dalam makam Rasulullah S.A.W. Tanah-tanah dari terowong tersebut dibuang ke dalam telaga yang terletak berhampiran kediaman mereka dan ada kalanya diisi ke dalam beg kulit untuk dibuang di perkuburan Baqi’.

Menggigil kemarahan Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki apabila mengetahui hal tersebut lalu kedua-dua lelaki tersebut dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan mereka iaitu dengan dijatuhkan hukuman mati dan badan mereka berdua dibakar selepas itu.

Setelah itu, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki mengarahkan supaya digali lubang di sekeliling makam Nabi, dalamnya sampai ke air. Kemudian dipenuhkan dengan timah sampai ke atas untuk dijadikan pagar bawah tanah bagi melindungi makam tersebut.

Wallahualam.

Rujukan; 
Madinah Munawwarah: Kelebihan dan Sejarah

 (Sumber: Tazkirah.net oleh Zulfikar Egar)

Komen


Berita Berkaitan