Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kisah Mengenai Puasa Yang Meyakinkan Stephanie, Gadis Warganegara British

Gambar Hiasan

 

University of Bradford, United Kingdom. Ramadan, Oktober, 1998.

Pagi itu cuaca amat dingin. Bumi UK ketika itu di awal musim sejuk. Tahun itu merupakan tahun kedua saya sebagai seorang pelajar Malaysia menjalani ibadah puasa di sebuah negara yang asing, yang jauhnya beribu-ribu batu dari tanah kelahiran.

Saya masih ingat lagi, saya bersama-sama teman sepengajian iaitu Stephanie, seorang gadis British dan Mohan, jejaka berketurunan Pakistan, melakukan eksperimen di dalam salah sebuah makmal di Faculty of Biomedical Sciences.

Hampir 6 minggu kami melakukan eksperimen demi eksperimen sebagai tugasan untuk melengkapkan Projek Tahun Akhir kami sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Biomedical Sciences.

Oleh kerana kami berkongsi penyelia projek yang serupa, kami ditempatkan di makmal yang sama. Sedang saya khusyuk menganalisa data, Stephanie tiba-tiba mengajukan soalan;

“Why do Muslim fast?”

Mohan terus sahaja menjawab;

“That’s what our Prophet Muhammad S.A.W do.”

Stephanie diam, tidak menunjukkan sebarang reaksi. Saya pun berkata padanya;

“Muslim fast so that we can experience what poor people feel when they are hungry.”

Jawapan saya penuh yakin. Sejujurnya, ilham itu datang apabila saya teringat akan subjek Pengetahuan Agama Islam Tingkatan 3, bab Hikmah Berpuasa.

Stephanie memandang saya dengan penuh keterujaan dan berkata;

“Wow, that is very good and humbling!”

Kepalanya terangguk-angguk. Lama juga anggukan itu. Barangkali terlalu setuju dengan jawapan yang saya lontarkan tadi.

Mata saya memandang Mohan. Dia merenung saya dan melemparkan segaris senyuman. Saya membalas dengan lengkungan senyum.

Ketika itu saya berasa lega jawapan saya diterima oleh Stephanie. Ya, sekadar memuaskan hati Stephanie. Tidak lebih daripada itu.

Namun, apabila saya terbaca kisah Lauren Booth, yang lebih dikenali umum sebagai adik ipar mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, jawapan saya kepada Stephanie itu rupa-rupanya amat signifikan.

Terlalu besar impaknya sehingga boleh mengubah persepsi dan pemikiran seseorang terhadap Islam.

Lauren Booth ialah seorang wartawan British. Dalam kariernya sebagai seorang penyampai berita di radio dan TV BBC, beliau amat terkesan dengan penderitaan rakyat Palestin yang ditindas oleh Israel.

Pada bulan Ramadan tahun 2008, Lauren Booth, bersama-sama 45 orang aktivis lain yang memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin berjaya memasuki pantai perairan Palestine dengan menggunakan 2 buah bot.

Ini ialah kejayaan pertama pelayaran dari dunia luar dalam misi Free Gaza Movement setelah 41 tahun. Booth diundang ke salah sebuah refugee camp di Rafah untuk berbuka puasa.

Keadaan kem begitu daif. Ruang sempit yang berdindingkan simen, ada satu tikar dan 16 tilam yang lusuh terlonggok di satu sudut. Untuk 16 orang; lelaki, wanita dan kanak-kanak tidur.

Booth disambut oleh seorang ibu yang penuh dengan senyuman, melayannya dengan begitu mesra dan bersungguh-sungguh menyuruhnya masuk ke dalam kem. Kata Booth;

“Like I was entering a palace, and she has everything to offer me.”

Pada saat itu juga, Booth berasa amat marah.

“I was angry with the Muslim God, that asked people who are already starving to fast.”

Booth terus mengajukan soalan kepada ibu tersebut;

“I do not mean to be rude, but why your God asked you to fast in Ramadan?”

Si ibu tadi memandangnya dengan penuh kasih sayang dan menjawab;

“Sister, Allah and Rasulullah S.A.W asked us to fast so that we can remember the poor.”

Pada saat dan ketika itu, jasad dan jiwa Booth bergetar. Sungguh, beliau amat terkesan dengan jawapan si ibu tadi.

“If this is Islam, I want it. If this is Islam, this love, generosity, this ability to get joy out of most miserable existence is Islam, I will join you with all my heart.”Lauren Booth

Pada tahun 2010, Booth muncul di TV saluran Islam dalam acara Global Peace and Unity yang diadakan di USA.

Beliau mengenakan busana Muslimah lengkap berhijab dan berkata;

“My name is Lauren Booth, and I am a Muslim.”

Kawan-kawan, Islam itu agama paling indah, agama dunia dan akhirat. Agama yang tepu dengan empati, bukan sekadar mengasihani tapi mampu merasai.

Puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum. Ia mendidik hawa nafsu kita untuk taat kepada Allah, memberi peluang kepada kita untuk merasai kepayahan dan keperitan orang lain.

Setiap kali Ramadan, saya pasti teringat akan Stephanie. Saya teringat akan jawapan spontan yang saya beri, yang memberikannya persepsi baharu tentang Islam.

Islam bukannya dianuti dengan diwarisi atau sekadar ikut-ikutan, malah di dalam ajaran Islam terkandung pedoman dan pengajaran yang amat bernilai sepanjang zaman.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Azian Mohamed Isa)

Komen


Berita Berkaitan