Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,670

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kisah Dua Srikandi Syurga Sempena Isra’ Mikraj

10:06pm 05/05/2016 Zakir Sayang Sabah 120 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Usai solat di surau pejabat, aku dan Farah berbual seketika sebelum kami meneruskan kerja-kerja yang masih belum selesai. Aku lihat Farah memperbetulkan tudungnya sambil tekun mengadap kalendar yang tergantung di dinding bilik surau.

“Seronoknya bulan Mei ini.”

Kata Farah dalam nada yang gembira.

“Ada apa dengan bulan Mei?”

Soalku kehairanan.

“Sebab banyak cutilah, cuba hang (dalam bahasa utara bermaksud ‘kau’) tengok kalendar ini. Bersusun-susun cuti kita.”

Farah menjawab sambil jarinya menunjuk-nunjuk ke arah kalendar tersebut.

“Rupanya Isra’ Mikraj jatuh pada minggu yang sama dengan cuti hari pekerja.”

Bisik hatiku ketika terpandang tarikh cuti yang warnanya berlainan daripada tarikh hari biasa.

“Farah, sebelum hang seronok hendak bercuti, jawab soalan aku dulu. Siapakah Srikandi yang namanya disebut dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj?”

Aku cuba mengusik Farah. Sambil tersengih, Farah pun berkata:

“Ada pilihan ABC tak?”

Peristiwa Isra’ dan Mikraj

Peristiwa Isra’ dan Mikraj terbahagi kepada dua iaitu yang pertama ialah Isra’ dan yang kedua adalah Mikraj. Dalam peristiwa Isra’, Rasulullah SAW telah menyaksikan pelbagai perkara sepanjang perjalanannya untuk naik ke Hadhratul Qudus bertemu Allah.

Terdapat pelbagai simbolik yang dilihat oleh Rasulullah, sama ada ianya mengambarkan tentang sesuatu yang baik ataupun sesuatu yang buruk.

Antara yang menyentuh sanubari saya sebagai seorang muslimah ialah terpatrinya kisah seorang Srikandi yang mana namanya terpahat dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj ini. Wanita itu ialah Siti Masyitah, yakni seorang penyikat rambut kepada anak Fir’aun si durjana.

Semasa dalam perjalanan menuju ke Masjid Al-Aqsa, Rasulullah yang pada waktu itu ditemani oleh Jibrail dan Israfil telah mencium bau yang sangat harum.

Jibrail menyatakan bahawa :

“Itulah bau kubur Masyitah bersama suaminya dan anak-anaknya. Mereka telah dibunuh kerana beriman kepada Allah dan tidak mahu mengaku Fir’aun itu sebagai Tuhan.”

Kisahnya bermula apabila pada suatu hari, Masyitah menjalankan tugasnya seperti biasa dengan menyikat rambut Puteri Fir’aun.

Pada masa yang sama, perasaan sedih dan dukacita menyelubungi diri Masyitah kerana mengenangkan suaminya iaitu Hazaqil yang telah mati dibunuh oleh Fir’aun. Tanpa sengaja, sikat yang dipegang oleh Masyitah telah terjatuh dan lantas dia berkata:

“Dengan nama Allah, binasalah Fir’aun.”

Puteri Fir’aun yang mendengar ucapan Masyitah itu mengugut untuk memberitahu ayahndanya. Dengan iman yang teguh di dada, Masyitah sedikit pun tidak berasa takut dengan ugutan tersebut.

Akhirnya Masyitah telah dipanggil oleh Fir’aun dan dia telah disuruh sama ada untuk memilih iman atau kekufuran.

Benar, Masyitah adalah seorang Srikandi. Bertauhidkan Allah, dia memilih untuk terjun ke dalam kawah yang panas itu bersama anak-anaknya walaupun dia mengalami keadaaan di mana timbul rasa sayu dan sedih tatkala melihat anaknya yang masih bayi dan sedang menyusu itu.

Keimanannya bertambah kukuh apabila dengan izin Allah, anaknya yang masih bayi itu berkata:

“ Jangan takut dan ragu duhai ibu, kerana kematian kita ini akan mendapat ganjaran daripada Allah dan syurga sedang menanti kita.”

Pengajaran Daripada Kisah Srikandi Siti Masyitah

Terdapat beberapa pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah ini. Antaranya ialah :

1. Masyitah tetap menjalankan kewajipannya sebagai seorang yang beriman kepada Allah walaupun dia terpaksa menyembunyikan keimanannya daripada Fir’aun.

2. Masyitah tidak sedikit pun berasa gentar atau takut dengan ugutan Puteri Fir’aun.

3. Tiada tangisan, jeritan mahupun ketakutan sewaktu dia bersama anak-anaknya terjun ke dalam kawah yang panas itu. Bahkan dengan izin Allah, muncul bau yang harum selepas mereka terjun ke dalamnya.

4. Bukti bau harum itu menambahkan lagi keimanan Siti Asiah iaitu isteri Fir’aun yang menyaksikan kejadian tersebut dan Siti Asiah menyatakan bahawa dia juga sanggup mati seperti Masyitah daripada berterusan menjadi isteri Fir’aun yang zalim.

Siti Asiah akhirnya ‘pergi jua’ sebagai seorang Srikandi selepas disiksa oleh Fir’aun. Dia sempat berdoa kepada Allah agar membina sebuah rumah untuknya di syurga seperti mana yang tertulis di dalam Surah At-Tahriim ayat 11:

“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata:

‘Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.’”

Sesungguhnya,

“Hanya iman yang membezakan antara kita. Bukan harta, pangkat, kecantikkan dan kemewahan dunia seisinya.”

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Nur Ismalina Haris)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan