Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Khidmat Unit Khas Bergerak JPN Di Paitan Beroperasi Tiga Kali Sebulan

2:16pm 14/03/2016 Pak Roshan 265 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan

jpn (1)

SANDAKAN : Perkhidmatan Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) secara berkala tiga kali sebulan akan dilaksanakan di daerah kecil Paitan.

Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pendekatan itu diambil berikutan kekangan bagi mewujudkan pejabat baharu JPN di daerah kecil itu.

Katanya ia merupakan maklum balas yang diterima beliau daripada JPN pada 10 Mac lepas selepas menghantar permohonan kepada JPN pada 12 Feb lalu bagi cadangan mewujudkan pejabat baharu JPN di daerah kecil Paitan bagi memudahkan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri penduduk di kawasan itu.

Beliau berkata pihak JPN telah melakukan kajian mengenai cadangan itu dan mendapati beberapa isu dan tindakan perlu dirancang dan diselesaikan dengan lebih teliti memandangkan wujud kekangan dalam beberapa perkara.

Menurutnya ia kerana ketiadaan kemudahan bekalan elektrik di kawasan berkenaan disebabkan perkhidmatan JPN memerlukan bekalan elektrik yang stabil supaya sistem peralatan tidak terjejas dan juga keperluan untuk talian internet bagi tujuan memproses permohonan dan pendaftaran.

Kekangan lain adalah peruntukan kewangan sedia ada yang terhad dan keperluan pertambahan tenaga kerja yang tidak dapat diperoleh, katanya kepada Bernama, hari ini.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata menerusi perkhidmatan tiga kali sebulan Unit Khas Bergerak JPN di Paitan akan memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan itu.

Menurutnya pada masa sekarang urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri hanya boleh dibuat melalui pejabat JPN di Pitas, Beluran dan Telupid yang menyukarkan penduduk dari segi jarak dan perhubungan.

Beliau mengalu-alukan keputusan JPN untuk melaksanakan perkhidmatan tiga kali sebulan unit bergerak khas di daerah kecil itu dan mengambil perhatian masalah penduduk berhubung dokumen pengenalan diri.

“Saya akui masalah kemudahan bekalan elektrik di daerah itu dan keputusan JPN menangguhkan pewujudan pejabat baharu,” katanya sambil menambah usaha meningkatkan bekalan elektrik akan terus dilakukan kerana ia penting bagi membangunkan kawasan itu.

Beliau meminta penduduk di kawasan itu mengambil peluang terhadap perkhidmatan tiga kali sebulan unit khas bergerak JPN dalam mengatasi masalah penduduk tempatan tiada dokumen pengenalan diri.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan