Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Khairy tawar autonomi untuk UMNO Sabah

KHAIRY Jamaluddin (tengah) bergambar bersama ahli UMNO selepas perjumpaan dengan ahli UMNO Zon Lima di Sandakan. – Foto Poliana Ronnie Sidom

 

SANDAKAN: Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata beliau akan memberi autonomi kepada UMNO Sabah jika dipilih sebagai pemimpin nombor satu parti itu.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, autonomi politik itu antara lain membolehkan pengerusi perhubungan negeri ditentukan sendiri pemimpin Sabah dan menurunkan kuasa pentadbiran disiplin kepada UMNO negeri ini.

Katanya, kedudukan Sabah perlu diiktiraf kerana Sabah, Sarawak dan Semenanjung bersama-sama menubuhkan Malaysia, bukannya Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

“Sentimen dan maruah rakyat Sabah mesti kita hormat dan terjemahkan dalam gerak kerja politik. Pendekatan ini agar UMNO Sabah tidak lagi dilihat sebagai parti di bawah cengkaman UMNO Pusat.

“Kita nak bagi keyakinan kepada rakyat agar UMNO Sabah dapat menjuarai kehendak serta aspirasi rakyat dan ia sangat penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat pada pilihan raya depan,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama ahli UMNO di sini, hari ini.

Khairy berkata, beliau juga mahu kuasa menentukan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ditentukan oleh UMNO negeri dan Bahagian dengan formula itu perlu diguna pakai bukan saja di Sabah tetapi juga di seluruh negara.

Katanya, UMNO selama ini berdepan masalah penentuan calon dan dibelenggu dengan pilihan calon yang tidak mendapat sokongan rakyat.

“Ahli-ahli memberitahu saya bahawa kali ini percayalah kepada ahli akar umbi, pada bahagian dan negeri. Jangan presiden sahaja yang menentukan (calon).

“Penurunan kuasa kepada bahagian dan negeri ini yang juga membabitkan perbincangan dengan presiden tetapi tidak kuasa mutlak lagi daripada presiden untuk menentukan (calon),” katanya.

Ditanya tindakan beberapa wakil rakyat UMNO yang keluar parti, Khairy berkata beliau yakin antara sebab mereka meninggalkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) adalah kerana tidak percaya dengan perjuangan dan hala tuju sedia ada. – Oleh Poliana Ronnie Sidom/BH Online

Komen


Berita Berkaitan