Catatan 21.14 saat di pusingan separuh akhir acara 200m di Stadium Sarawak itu mengatasi rekod 14 tahun milik bekas pelari pecut negara berasal dari Terengganu, Nazmizan Muhammad iaitu 21.33s yang dilakukan di Sukma 2002 di Sabah

Persembahan cemerlang Khairul Hafiz itu pasti menjanjikan sesuatu yang menarik di final yang akan diadakan pada pukul 9.30 pagi esok.

“InsyaAllah…saya akan cuba buat yang lebih baik esok,” katanya kepada pemberita.

Atlet berusia 18 tahun dari Melaka itu pernah mencatat masa 21.01s di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh, sebelum berpuas hati dengan 21.15s di perlumbaan akhir untuk membawa pulang pingat perak.

Ketika ini rekod kebangsaan 200m masih milik Tan Sri M. Jegathesan iaitu 20.92s yang dicatat di temasya Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

Atlet muda itu kini menjadi sebutan selepas berjaya memecahkan rekod 100m 10.30s berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18s, semalam. – BERNAMA