Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,636

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kewujudan Dua Pangkalan Laut Pertingkatkan Lagi Kawalan Keselamatan Di Perairan Sabah

4:13pm 13/11/2015 Pak Roshan 439 views Mutakhir,Nasional

pangkalan-laut

KUALA LUMPUR : Kewujudan Pangkalan Laut Tun Azizan dan Tun Sharifah Rodziah di sempadan perairan Sabah jelas dapat mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku termasuk aktiviti lanun di kawasan itu.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar berkata kewujudan pangkalan berkenaan penting memandangkan kawasan itu berisiko tinggi kepada ancaman lanun.

“Sejak penempatan dua pelantar (pangkalan) laut itu, keadaan menjadi lebih tenang khususnya dengan kehadiran aset TLDM seperti kapal dan bot yang bertugas membuat kawalan dan rondaan.

“Anggota TLDM bertugas 24 jam sehari bagi memastikan keselamatan di perairan negara terutama sekali di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Warga TLDM Sempena Pengunduran Panglima Tentera Laut di KD Sri Gombak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan serta kawalan di perairan negara ketika ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata pihaknya juga sentiasa berhubung dengan tentera laut negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand bagi memastikan perairan negara berada dalam keadaan selamat.

“Kita jalin hubungan rapat dengan negara jiran dan mereka sedia membantu khususnya dalam kejadian atau insiden yang perlu ditangani bersama,” katanya.

Di majlis itu, beliau turut meminta anggota TLDM sentiasa menjalankan tugas serta amanah yang telah diberikan dengan ikhlas serta penuh tanggungjawab.

Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dilaporkan berkata pengubahsuaian kapal kargo dan pelantar minyak syarikat swasta sebagai dua pangkalan laut itu pertama kali diwujudkan di dunia dan berfungsi sebagai pangkalan hadapan.

Kedua-dua pangkalan itu menempatkan anggota tentera, helikopter, dron, bot pemintas dan ‘unmanned aerial vehicle’ (UAV) bagi menjaga keselamatan perairan negara, kata Zulkifeli.

Pada majlis berkenaan, kira-kira 1,000 warga TLDM hadir bagi meraikan Abdul Aziz yang akan bersara pada 18 Nov ini.

Abdul Aziz mula menjawat jawatan Panglima Tentera Laut pada 1 April 2008.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan