Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,758

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Keutamaan Dalam Kerangka Maqasid Syariah (Bah.2)

11:30am 30/08/2016 Zakir Sayang Sabah 24 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Hudud sebahagian dari Fiqh Amali

Ramai yang tertanya-tanya adakah dengan menangguhkan hukum hudud ini telah mengeluarkan seseorang dari daerah keimanannya? seorang muslim wajib beritikad dan beriman dengan setiap syariat yang diturunkan tanpa menafikan kewajipannya untuk dilaksanakan. Perkara ini juga telah disebut di dalam Al-quran :

“شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّى بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْه”

Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama Yang ia tetapkan hukumNya – apa Yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan Yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), dan juga Yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) Yang Engkau seru mereka kepadaNya) (syuura :13)

Namun berdasarkan pengamatan, hudud ini termasuk dalam daerah fiqh amaliy dimana ia tertakluk kepada tuntutan kejadian sesuatu perkara (juga dinamakan sebagai khitab wadhi’e). Walaubagaimanapun kewajipan untuk menyakini keperluan untuk melaksanakannya suatu masa nanti masih kekal bersifat qoti’e.

Maka tindakan menangguhkannya tidaklah mengeluarkan mana-mana individu dari daerah keimanan kepada allah dan rasulnya selagi mana mereka masih beriman kepada pensyariatan hukum tersebut.

Apa yang lebih utama ?

Hari ini, pelbagai masalah telah melanda seluruh masyarakat kita di Malaysia. Skandal korupsi dan pecah amanah pimpinan negara akan terus merosakkan kesejahteraan rakyat jika tidak dibanteras. Aspek ekonomi sangat terjejas yang akhirnya mengheret rakyat ke dalam kesempitan dan kesusahan. Ditambah pula dengan kebejatan sosial yang seolah-olah tidak berkesudahan.

Perpecahan politik yang berlaku menambahkan lagi kekeliruan rakyat dalam memberi sokongan. Dalam situasi ini, kebaikan apa yang lebih utama? kebaikan kepada keseluruhan masyarakat untuk keluar dari kepompong korupsi dan pepecahan atau kebaikan untuk melaksanakan hudud di sebuah negeri dan melibatkan sebahagian dari kelompok masyarakat sahaja? Dalam konteks dan situasi sekarang kita harus menilai perkara apa yang lebih menjadi keperluan untuk diperjuangkan berdasarkan fiqh keutamaan dan fiqh pertimbangan yang telah pun digariskan oleh ulama.

Penulis bimbang, keghairahan sesuatu pihak untuk melaksanakan hudud semata akan mengaburi mata dan fikiran masyarakat kita tentang apakah yang sedang berlaku kepada negara. Pelaksanaannya pada situasi sekarang juga boleh mengundang kepada salah faham dan fitnah kepada agama sendiri. Bahkan ia juga boleh membawa salah faham terhadap kefahaman pelaksanaan hudud.

Di saat rakyat sedang kebuluran menanggung bebanan kos hidup yang mencengkam apakah wajar kita melaksanakan hukuman kepada mereka yang mencuri untuk hidup? Hudud ini bukanlah jalan penyelesaian terakhir bagi semua masalah ketidakadilan, tetapi ia hanyalah salah satu jalan kearah mencapai keadilan. Sekalipun dilaksanakan hudud, tetapi jika rasuah masih berleluasa maka masih akan ada ruang untuk berlakunya kesaksian palsu yang akhinya tidak pun mencapai keadilan yang dihajati.

Hal ini kerana asas pelaksanaan hudud adalah mesti bebas dari sebarang syubhah. Hudud secara asalnya akan tertolak jika terdapat sebarang syubhah dalam pensabitan hukum ke atas pesalah. Sebagai contoh, dalam hal mencuri,antara syarat yang diwajibkan keatas pencuri untuk disabitkan kesalahannya adalah perbuatannya bukan disebabkan keterpaksaan dan darurat.Jika benar atas darurat, maka tidak terlaksana ke atasnya had.

Melaksanakan hukum hudud dalam keadaan yang penuh ketidakadilan dalam kehidupan masyarakat akan membawa kepada fitnah dalam konteks situasi masyarakat kita, adalah sukar untuk dipastikan sama ada pesalah yang melakukan kesalahan itu benar-benar memilih untuk mencuri atau terpaksa mencuri untuk meneruskan kehidupannya.

Syariat Islam juga tidaklah berputar di sekitar hudud semata tetapi ia lebih dari itu. Penegakan sebuah negara yang bebas dari genggaman pemimpin yang tidak adil adalah juga untuk memenuhi tuntutan maqasid syariah.Kerana mafsadah(keburukan) mengekalkan negara dalam kondisi sekarang adalah lebih buruk .Semuanya harus kembali kepada tujuan asal sesuatu syariat itu diturunkan iaitu untuk memberi kebaikan kepada seluruh umat manusia.

Konklusi

Memetik kata-kata Dr Yusuf Al-Qardawi dalam Al-Jazeera mengenai “hudud dalam wacana fiqh masa kini” beliau menyatakan, “sebelum dilaksanakan hukum hudud, beri makan (terlebih dahulu) kepada orang yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih (para) pekerja. Mesti dilakukan ini [semua] sebelum melaksanakan (hukum) hudud”.

Hakikatnya Islam tidaklah bertujuan untuk menghukum manusia semata kerana hal ini jelas melalui amalan Nabi SAW melalui hadis-hadis baginda. Oleh sebab itu, umat islam seharusnya berusaha sedaya upaya beramal seiring amalan Nabi untuk mengelak dari mengenakan hukuman hudud.

Ini boleh dilakukan dengan menghapuskan segala perkara yang boleh mendorong manusia melakukan kesalahan hudud, seperti desakan, tekanan dan keperluan hidup. Maka disinilah kewajipan menjaga kebajikan rakyat, memberi pendidikan tentang agama dengan baik, sifat kebersamaan dan apa sahaja yang menjurus ke arah penghapusan dorongan-dorongan jahat itu,perlu didahulukan sebelum dilaksanakan hudud.

Kita juga seharusnya bersama-sama menggerakkan umat untuk menyempurnakan kekuatan dalam dan luaran seiring dengan keperluan serta tuntutan Islam.

Terakhirnya, penegakan hukum Allah di muka bumi ini adalah satu tuntutan bagi setiap individumuslim. Penulis juga mengakui dan menyakini perkara ini sebagai sebuah obligasi yang perlu dilaksanakan.Namun, kaedah perlaksanaan hukum hudud yang sepatutnya adalah memperkukuh perlaksanaan dan pengamalan Islam  di segenap aspek terlebih dahulu, sebelum melaksanakan hukum Allah itu.

Pensyariatan datang secara berperingkat. Perancangan yang teliti dan tersusun seharusnya dilakukan diperingkat awal supaya Islam dapat difahami sebagai sebuah agama yang menyebarkan rahmah kepada seluruh umatnya.

Penulis :

Nusaibah Bt Mohamad

Pelajar ijazah sarjana Muda Syariah Fiqh Wa usuluh

Universiti Mu’tah Jordan

(Sumber: QuranicGen.com)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan