Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,644

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Keutamaan Dalam Kerangka Maqasid Syariah (Bah.1)

11:00am 30/08/2016 Zakir Sayang Sabah 21 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Perbezaan Ibadah, Aqidah dan Muamalat mengikut Maqasid Syariah

Dalam konteks perbezaan ideologi perjuangan islam yang sedang berlaku hari ini,tidak dapat tidak, kita perlu melihat kembali asas penetapan sesuatu pensyariatan berdasarkan kayu ukur Maqasid Syariah. Di dalam setiap ruang lingkup pensyariatan,syariat membezakan antara ibadat,akidah dan muamalat.

Dalam memahami dan menyingkapi hikmah disetiap pensyariatan,kita perlu fahami bahawa apa-apa pensyariatan dalam kerangka ibadah dan aqidah adalah bersifat ta’abbudi dan tawqifi iaitu sekalipun terdapat penafsiran hikmah ia tidak boleh dijadikan dalil untuk berhujah seperti mana digariskan oleh ulama terdahulu.

Sebagai contoh, solat masih bersifat wajib sekalipun kita tidak mengetahui apakah hikmah sebenar kefardhuan solat ke atas umat islam seperti mengapa disyariatkan 4 rakaat bagi solat zohor, asar danisya’. Namun berbeza pula dalam bab muamalat dan adat. Apa sahaja bentuk interaksi antara manusia dengan manusia yang lain, kita dibenarkan untuk melihat dan mengkaji hikmah dan sebab disebalik setiap pensyariatannya.

Perkara-perkara sekitar muamalat dan adat adalah bersifat muallalah dengan maslahah manusia selari dengan prinsip fiqh memperoleh kebaikan dan menolak keburukan .

As-syatibi dalam bukunya menyebut, asal dalam ibadat bagi seorang mukallaf adalah ta’abbud tanpa memberi penekanan kepada makna dan hikmah disebaliknya sementara asal dalam muamalat dan adat adalah dengan memberi penekanan kepada maknanya.

Pandangan ini juga disokong oleh Al-‘iz Bin Abdussalam. Menurut beliau, telah dijadikan hukum syariat ini kepada dua jenis : Ibadah dan Muamalah.Ibadah binaannya adalah atas dasar ketaatan tanpa mengetahui hikmah dan illah tetapi melaksanakannya adalah ketaatan kepada Allah dan mengharapkan ganjarannya kerana ia tidak tertakluk dengan prinsip meraih kebaikan dan menolak keburukan.

Adapun perkara muamalat, ia bersifat boleh ditafsirkan dengan maslahah ibad dan tertakluk kepada prinsip جلب المصالح ودرء المفاسد dan dengan itu dapat diketahui hikmah disebaliknya.

Asas Maqasid Syariah adalah kebajikan, keadilan dan keamanan

Kembali melihat sejarah pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, hal-hal berkaitan siyasah telah melalui pelbagai perkembangan bersesuaian dengan realiti semasa sebuah masyarakat. Realiti antara satu tempat adalah tidak sama dengan tempat yang lain. Di sinilah, pemahaman Fiqh Realiti sangat diperlukan. Negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama tidaklah sama dengan negara yang secara majoritinya beragama Islam.

Maka berdasarkan sejarah, kita dapati banyak sekali perubahan dalam kerangka politik yang telah dilakukan oleh para Salafussoleh bermula pada zaman Rasulullah.Ijtihad dalam politik lebih luas dan terbuka. Terasnya, kemaslahatan rakyat. Bahkan Islam bersifat luas dalam hal politik. Ini kerana syariat itu dibina atas dasar kemaslahatan manusia. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah :

الشريعة مبناها وأساسها على الحكم ومصالح العباد في المعاش والمعاد، وهي عدل كلها ، ورحمة كلها ، وحكمة كلها ،ومصلحة كلها ، فكل مسألة خرجت عن العدل إلي الجور ، وعن الرحمة إلي ضدها ، وعن المصلحة الى المفسدة، وعن الحكمة إلي العبث فليست من الشريعة وان أدخلت فيها بالتأويل

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat.Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat.Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in)

Untuk mencapai keadilan dan kesejahteraan, pengamatan kepada nas dan realiti semasa adalah amat perlu. Penelitian kepada sesuatu perintah yang diturunkan dalam bab selain ibadah dan aqidah tidak boleh diambil secara literal.

Menangguhkan Hudud bertentangan dengan Maqasid Syariah?

Dakwaan ‘tidak memahami Maqasid Syariah’ yang dilontarkan terhadap individu yang bersetuju untuk ditangguhkan pelaksanaan hudud adalah sama sekali tidak benar. Pelaksanaan hudud sememangnya satu bentuk perintah Allah, tetapi ia haruslah bertepatan dengan kondisi dan situasi sesuatu tempat dan masa.

Pelaksanaannya juga memerlukan satu keadaan yang kondusif yang membolehkan pelaksanaannya terhindar dari sebarang bentuk kezaliman dan fitnah serta kesan-kesan negatif kepada masyarakat. Bahkan, perjuangan mewujudkan suatu keadaan yang kondusif adalah lebih utama dan menepati maqasid berbanding melaksanakan hudud itu sendiri.

Menurut Syeikh Abdullah Ben Bayyah, antara asas pelaksanaan sesuatu hukum dalam Fiqh Waqi’e adalah asas kaedah Tahqiq al-Manat. Tahqiq al-Manat dalam bukunya Tanbih Al-Muraji’ ‘ala ta’shil Fiqhul Waqie’ disebut sebagai:

هو النظر في معرفة وجود العلة في آحاد الصور الفرعية التي يراد قياسها على أصل سواء أكانت علة الأصل منصوصة أم مستنبطة

“Satu pemerhatian kepada mengetahui wujudnya illah pada satu gambaran/cabang furu’ yang dikehendaki qiyasnya terhadap satu asal sama ada illah asal tersebut dinaskan atau diistinbatkan”

Hal ini selari dengan apa yang telah diutarakan oleh ulama silam dimana tahqiq al-manat ini membawa maksud proses meneliti, mengkaji, dan mengenalpasti dalam mentahqiqkan illah yang telah sabit dengan nas, atau ijma’, atau istinbath, pada kejadian atau permasalahan yang tidak terdapat padanya nas.

Lalu bagaimana kita mengaplikasikan perkara ini dalam konteks hudud pada zaman ini?Jika dapat dirumuskan,kita perlu melihat kembali kepada illah situasi yang boleh menyebabkan tidak dijalankan sesuatu hukum hudud ini adalah apabila berlakunya situasi yang boleh membawa kepada keburukan yang lebih besar dan mengancam pemeliharaan agama (hifz din).Hal ini bertepatan dengan tindakan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam At-tarmizi :

عن جنادة بن أبي أمية عن بسر بن أرطاة قال سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول لا تقطع الأيدي في الغزو 

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan”.(Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani)

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

عند بعض أهل العلم منهم الأوزاعي لا يرون أن يقام الحد في الغزو بحضرة العدو مخافة أن يلحق من يقام عليه الحد بالعدو فإذا خرج الإمام من أرض الحرب ورجع إلى دار الإسلام أقام الحد على من أصابه

 “Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh dan sekiranya telah keluar imam dari sebuah negara perang dan kembali kepada negara islam jalankanlah had kepada sesiapa yang mencederainya…”.

Dan berdasarkan asas inilah Syeikh Ben Bayah melihat bahawa soalan yang perlu ditanya apabila ingin melaksanakan hudud ialah adakah situasi negara yang dibelenggu masalah hari ini membolehkan hudud ini diterima tanpa memberi kesan negatif kepada pemeliharan lima perkara dalam maqasid tersebut?

Antara contoh lain kepada asas ini adalah tindakan Rasulullah meninggalkan kewajipan membina semula Kaabah kepada asas binaan Ibrahim A.S kerana baginda melihat pada situasi umatnya yang baru sahaja meninggalkan jahiliyyah. Ini adalah antara penetapan illah yang dapat menggugurkan kewajiban melaksanakan kerana takut mafsadah yang lebih besar akibat iman yang lemah dan situasi yang kurang sesuai.

Begitu juga apa yang dilakukan oleh saidina Umar iaitu menangguhkan hukuman hudud ; potong tangan, kepada pencuri pada masa berlaku masalah kebuluran untuk mengelakkan kezaliman kepada rakyatnya. Oleh kerana itu, Syeikh Ben Bayah lebih cenderung untuk menangguhkan pelaksanaan hukum hudud ini sehinggalah keamanan serta keadilan terlebih dahulu ditegakkan.

Namun begitu tidaklah bermaksud, Syeikh Ben Bayah menggunakan realiti semata sebagai alasan dan keuzuran kepada pemimpin untuk tidak menjalankan hukum hudud ini tetapi apa yang dituntut adalah perlunya penetapan al-manat (illah) tadi dari pelbagai arah yang dianggap paling sejahtera dan aman buat negara dan rakyatnya.

Ini adalah antara prinsip dan asas yang diajar oleh Rasulullah dalam melaksanakan sesuatu. Imam as-Syatibi sendiri dalam bukunya Al-Muwafaqat fi Usul Al-ahkam juga telah mengeluarkan satu kaedah iaituan-nazhar ila maal (pemerhatian kepada kesan) bagi sesuatu perbuatan dan pelaksanaan. As-syatibi mengajar kita tentang keperluan kita melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut pandang, kesan dan hasilnya kepada masyarakat.

Kaedah ini juga sebenarnya bertepatan dengan kaedah saddu ad-dzarai’ (mencegah sesuatu yang membawa kemudaratan) yang telah diajar oleh ulama silam suatu masa dahulu.Sebagai seorang Islam,kita tidak menafikan bahawa hudud adalah sebahagian daripada pensyariatan Islam, tetapi dalam situasi masyarakat Malaysia yang tidak memahami gambaran islam yang sebenar ditambah dengan kebejatan yang berlaku perlu untuk kita melihat apa kesan yang berlaku jika hudud ini terus dilaksanakan.

Penegakan syariat tidak seharusnya berlandaskan hawa nafsu dan mengharapkan manfaatnya secara tergesa-gesa kerana hakikatnya syariat diturunkan adalah untuk mengeluarkan manusia daripada hawa nafsu sehinggalah mereka kembali tunduk mengabdikan diri kepada allah.

Penulis :

Nusaibah bt Mohamad
Pelajar Jurusan Syariah Fiqh wa Usuluh
Universiti Mu’tah Jordan.
(Sumber: QuranicGen.com)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan