Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ketua Pegawai Operasi MAHB Puas Hati Dengan Operasi Di Terminal 1 KKIA

7:17pm 01/12/2015 Pak Roshan 17 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

KKIA

KOTA KINABALU : Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Abd Hamid Mohd Ali berpuas hati dengan kelancaran hari pertama AirAsia menjalankan operasi di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian penerbangan AirAsia berlepas dari lapangan terbang ini pagi ini, tiada masalah atau kejadian tidak diingini dialami pada pemeriksaan keselamatan, kaunter daftar masuk, pintu berlepas atau balai ketibaan.

“Penumpang dari Guangzhou, Hong Kong dan Kuala Lumpur yang meninggalkan Kota Kinabalu berpuas hati dengan perjalanan operasi pagi ini. Kami amat gembira dengan operasi di terminal itu setakat ini,” katanya kepada pemberita di pejabatnya.

Beliau berkata pada dasarnya, penumpang tidak mempunyai masalah dengan susun atur lapangan terbang itu.

AirAsia memulakan operasi di Terminal 1 KKIA berkuat kuasa hari ini selepas berpindah dari Terminal 2.

Abd Hamid berkata KKIA direka untuk sembilan juta penumpang dan boleh menampung sehingga 12 juta orang.

“Sebanyak 34 penerbangan masuk dan 34 lagi penerbangan keluar oleh AirAsia dengan kira-kira 10,000 pergerakan penumpang dijangka di lapangan terbang hari ini,” katanya.

Abd Hamid berkata lapangan terbang itu turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma dari Terminal 2 untuk penumpang yang tidak menerima maklumat awal mengenai perpindahan ke lapangan terbang antarabangsa itu.

Katanya kajian akan diadakan pada hari yang sama untuk mengkaji keputusan operasi atau sebarang gangguan dari segi keselamatan dan keselesaan penumpang.

“Dengan ini, lapangan terbang berharap untuk menyediakan operasi yang lancar dan meningkatkan perkhidmatan AirAsia pada masa akan datang untuk manfaat semua penumpang,” katanya.

Abd Hamid berkata Terminal 2 akan digunakan untuk tujuan penerbangan awam dan kargo serta sebagai pangkalan helikopter.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan