Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KETUA MENTERI SETUJU TIADA SEKATAN PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS DI SABAH DAN SARAWAK

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media selepas hadir pada Forum Hari Malaysia anjuran UPKO di Likas Square Apartment Hotel, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sekatan terhadap penggunaan Bahasa Inggeris bagi Sabah dan Sarawak tidak terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara berkaitan had penggunaan Bahasa Inggeris juga tidak terkandung dalam Perlembagaan kerana telah menjadi ketetapan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Berkenaan dengan penggunaan Bahasa Inggeris, saya ingat tidak ada sekatan. Kita sedar bahasa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi kita, tetapi dalam masa sama tidak ada sekatan untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran di negara ini.

“Malah, kita ada sekolah jenis kebangsaan Cina yang menggunakan Bahasa Cina, begitu juga dengan sekolah-sekolah persendirian antarabangsa yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Ada sesetengah mata pelajaran itu yang menggunakan Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Forum Hari Malaysia anjuran Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam ucapan alu-aluan beliau mengulangi kenyataan bahawa Upko terkejut dengan jawapan bertulis Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa pengunaan Bahasa Inggeris sebagai pengantar di sekolah kebangsaan menyalahi perlembagaan.

Malah, kata Madius, Bahasa Inggeris boleh digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan di Sabah dan Sarawak sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Mengenai forum itu Mohd Shafie berkata, ia bertepatan sebagai platform bagi ahli-ahli UPKO mewujudkan percambahan pendapat dalam membincangkan perkara-perkara penting mengenai kedudukan negeri ini seperti MA63.

Beliau menambah, forum itu perlu diteruskan penganjurannya pada masa hadapan agar rakyat Sabah secara keseluruhannya mengetahui apa juga yang terkandung dalam MA63 khususnya terhadap hak negeri ini perlu diperjuangkan.

“Kerajaan baharu Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) akan memastikan hak Sabah akan terus dipertahankan,” ujarnya.

Sementera itu, Pemangku UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, forum berkenaan yang dianjurkan buat kali kelima berturut-turut sempena Hari Malaysia bertujuan menerapkan pemahaman terhadap kandungan dokumen MA63.

“Forum ini sangat penting bukan sahaja untuk memastikan kita memahami isi yang tersirat dalam dokumen MA63, tetapi juga bagaimana kita dapat melihat kerajaan melaksanakan perjanjian itu,” katanya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan