Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ketua Menteri Sabah Zahir Takziah Kepada Mendiang Keluarga Pensyarah UMS

musa aman

KOTA KINABALU– Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ng Shi Ing, mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, yang dibawa pulang ke tanah air hari ini.

“Sebagai Pro Canselor UMS, saya turut berkongsi kesedihan dan simpati dengan keluarga mendiang Ng Shi Ing, pensyarah UMS yang terkorban dalam Tragedi MH17, yang selamat diterbangkan ke tanah air dalam kumpulan kedua pagi tadi.

“Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi situasi yang sukar ini. Salam takziah,” kata Musa dalam catatan terbaharu beliau di Facebook.

Atas permintaan keluarga, abu mendiang Ng disimpan di Pusat Xiao En Bereavement di Cheras, Kuala Lumpur bersama-sama abu adik perempuannya Elisabeth Ng Lyeti yang tiba pada Jumaat lepas, sehingga jenazah anak Ng iaitu Benjamin Lee Jian Han yang berumur satu tahun dibawa pulang ke tanah air.

Sementara itu, Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan Prof Dr Ismail Ibrahim menyifatkan Ng seorang pensyarah sukar dicari ganti sejak menjadi keluarga UMS bermula tanggal 19 Sept 2011.

Dr Ismail berkata mendiang Ng terlibat dalam beberapa projek penyelidikan bernilai kira-kira RM480,000 dan lima penyelidikannya berjaya disiapkan termasuk pernah menggondol lima pingat emas dalam Pereka UMS sejak 2011 selain kejayaan peringkat nasional dan antarabangsa.

Ng yang merupakan pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan Jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), UMS menghadiri persidangan di University of Antwerp, Belgium untuk membentangkan kertas kerja sebelum dijadualkan pulang bersama-sama adik dan anaknya dengan menaiki pesawat malang itu.

Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah mangsa MH17 iaitu 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas.

Pada hari ini, kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi dengan dua daripadanya termasuk mendiang Ng diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh penghormatan.

Satu jenazah yang dibawa balik hari ini tidak mengikuti istiadat penghormatan hari ini atas permintaan keluarga yang mahukan privasi.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Komen


Berita Berkaitan