Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,423

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ketika saya disahkan menghidap kanser hanya kematian yang terlintas di fikiran saya

12:16pm 05/03/2017 Leolerry Lajius 142 views Tempatan

KOTA KINABALU: “Menghidap kanser menjadikan saya lebih menghargai diri saya yang sebenar.”

Demikian ungkapan dari Rainty Tioh, seorang penghidap kanser yang berjaya menempuh detik yang amat mencabar selepas disahkan menghidap kanser payu dara.

Rainty yang masih menjalankan terapi ketika ini, kini semakin pulih dan mulai terlibat aktif dalam program-program kesedaran mengenai kanser.

“Ketika saya disahkan menghidap kanser payu dara hanya kematian yang terlintas di fikiran saya. Saya mulai memikirkan bagaimana dengan anak-anak, suami dan ahli keluarga jika saya pergi meninggalkan mereka.”

“Saat saya berhadapan detik itu, saya akhirnya menyedari saya tidak keseorangan. Keluarga dan sahabat sentiasa menyokong saya, memberikan saya semangat dan saya mulai sedar saya perlu kuat untuk menghadapi detik itu,”katanya ketika berkongsi pengalaman beliau sempena Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Kanser ‘We Can, I Can’ anjuran Hospital Pakar KPJ Sabah, di sini, kelmarin.

Rainty turut menyatakan bahawa, dengan sokongan dari insan-insan di sekelilingnya, beliau mulai kuat dan mengikuti sepenuhnya apa yang dikatakan oleh doktor.

“Saya tidak nafikan ketika itu, ada juga insan yang cuba mempromosikan produk mereka dengan mengongsikan segala macam testimoni, saya mulai keliru untuk memilih mereka atau doktor yang merawat saya.”

“Namun, saya tetapkan pendirian saya dan memberikan kepercayaan sepenuhnya terhadap doktor yang merawat saya sehingga dari saya hanya terbaring di katil dan duduk di kerusi roda dan sekarang saya sudah mampu bergiat aktif dalam larian,”katanya.

Rainty, turut menyatakan bahawa detik itu juga memberi sentuhan kepadanya dan kini mulai aktif dalam larian dan juga aktiviti-aktiviti lasak serta dalam masa yang sama turut terbabit dalam program-program kesedaran mengenai kanser.

“Semangat yang kuat dan sokongan dari keluarga merupakan salah satu ubat yang mampu memberikan kekuatan untuk menghadapi detik ini, sentiasa mensyukuri dan mengikuti nasihat doktor, dugaan mencabar ini pasti dapat ditempuhi,”katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Hajah Jainab Ahmad Ayid turut menyeru orang ramai agar melibatkan diri dalam program-program kesedaran mengenai kanser dan sentiasa menitikberatkan soal pemeriksaan awal sebagai langkah pencegahan.

“Jangan tunggu sehingga ia mencapai tahap yang kritikal baru hendak membuat pemeriksaan, buatlah pemeriksaan awal sebagai langkah pencegahan,”katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena majlis berkenaan.

Kempen yang diadakan selama tiga bulan itu juga akan diisi dengan pelbagai pengisian seperti mengumpul dana, jelajah kesedaran serta pemeriksaan dan pencegahan awal kanser.

Pihak KPJ Sabah juga turut menawarkan pemeriksaan kanser serta turut menawarkan rawatan terapi.-Oleh Leolerry Lajius /SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda