Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ketika Berdua, Allah Adalah Ketiga

4:34pm 13/07/2016 Zakir Sayang Sabah 45 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Siapa yang tidak cemburu ketika melihat kisah dua orang kekasih termaktub di dalam Al-Quran. Kisah seorang pencinta setia terhadap kekasihnya, seorang sahabat yang tiada terbanding pengorbanannya. Dia bukan Nabi, bukan juga Rasul, tetapi kisahnya bersama Rasul s.a.w. jadi tulisan yang zaman-berzaman terus dibaca oleh ummat.

Apakah ada kisah persahabatan, percintaan antara seorang kekasih dengan kekasihnya yang lain, yang lebih agung daripada kecintaan di jalan Allah?

Kisah cinta yang bukanlah berpaksikan harta mahupun kedudukan seperti seorang raja, tetapi bernoktahkan redha dan cinta Allah s.w.t. semata-mata. Kata-katanya tulus, tingkah lakunya benar, hatinya tidak pernah terbebankan walaupun oleh sekelumit keraguan pada kekasihnya.

Dialah yang berada di atas jalan benar dan sentiasa membenarkan apa yang dibawa oleh kekasih hatinya, Rasul s.a.w. Dialah Abu Bakar as-siddiq !

 

Ketika Cinta Merasuki Jiwa

Lumrah orang bercinta, perasaannya selalu tertumpu pada orang yang dicintainya. Demi cinta, dia akan sanggup melakukan apa saja untuk memenuhi permintaan dan hasrat orang yang dicintainya. Seboleh mungkin, dia hanya akan melakukan perkara-perkara yang disukai oleh orang yang dicintainya itu saja.

Kadangkala, bermimpi di tengah-tengah malam pun boleh tersebutkan nama orang yang dicintainya itu. Bila buka Facebook atau Twitter, sudah pastilah mesej atau status orang yang dicintainya itu yang dinanti-nantikannya. Itulah kuasa cinta. Bila ia merasuk jiwa, maka tidak dipedulikan lagi apa kata orang terhadap dirinya.

Begitulah cinta Abu Bakar as-siddiq terhadap Rasul s.a.w. Kalau kita mungkin hanya menaruh cinta kita pada perempuan yang akan dijadikan isteri atau lelaki yang akan dijadikan suami, tetapi Abu Bakar menaruh cintanya yang utama adalah kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sebelum Allah dan Rasul-Nya, maka tidak ada apa yang dapat mendahului kedua-duanya.

Sehinggakan kita dapati satu ketika, beliau pernah dipukul dengan begitu teruk oleh kaum musyrikin bila beliau tampil di khalayak ramai lalu berpidato mengajak manusia untuk beriman. Mendengarkan sahaja pidato beliau itu, kaum musyrikin tanpa belas lagi terus membelasah dan memukul beliau sehingga menyebabkan dirinya cedera parah.

Cedera parah. Pengsan. Tetapi, bila tersedar saja dari pengsannya, bukan keadaan dirinya yang dirisaukan dahulu, tetapi keadaan diri Rasul s.a.w. yang dirisaukannya pula.

“Di mana Rasulullah? Bagaimana keadaan baginda sekarang?”

Sedangkan dirinya yang luka teruk dibelasah, berdarah dan masih sakit-sakit lagi tidak pula dihiraukannya sehinggalah dia dibawa bertemu dengan Rasul s.a.w. sendiri, melihat keadaan baginda, maka barulah hatinya boleh berasa lega.

Cinta seorang sahabat kepada sahabatnya.

Siapa yang meminta Abu Bakar melakukan sedemikian?

Tidak. Tidak ada siapa melainkan kerana imannyalah yang menolak dirinya untuk melakukan semua itu, membuktikan kecintaannya terhadap Allah dan Rasul-Nya.

 

Asas Persahabatan Sebenar Adalah Iman Kepada Allah

Kita bisa berkawan dan berteman dengan siapa saja di dalam dunia ini. Tetapi untuk membina persahabatan yang sebenar, maka tidak ada asas yang lain melainkan keimanan kepada Allah.

Iman kepada Allahlah yang akan menjaga ukhuwah dan hubungan kita dengan sahabat. Imanlah yang akan menolak seorang sahabat untuk sentiasa berlaku benar terhadap sahabatnya. Imanlah yang menolak seorang sahabat untuk sentiasa berlapang dada dan sanggup itsar (mendahulukan sahabatnya) terhadap sahabatnya. Imanlah yang akan membersihkan hubungan persahabatan dari apa-apa kepentingan keduniaan.

Imanlah yang menjadi paksi paling kuat untuk menjaga hubungan persahabatan.

Tidakkah kita lihat peristiwa yang telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. ketika hijrah Nabi s.a.w. dan Abu Bakar ke Madinah?

Bukankah pada waktu itu, mereka hanya berdua dan tidak ada pengawal yang mengiringi mereka?

Maka, ketika mereka tinggal berdua itu, tidakkah kita perhatikan apa yang dilakukan oleh Abu Bakar?

Beliau sepanjang perjalanan itu sekejap-sekejap ke kanan, sekejap-sekejap ke kiri, sekejap-sekejap ke depan, sekejap-sekejap ke belakang. Hairan Rasul s.a.w. melihat perilakunya itu, maka ditanya kepada Abu Bakar, apakah yang sedang dilakukannya itu?

Dijawab oleh beliau, “Bila aku berada di depan, aku ke belakang kerana bimbang ada musuh yang akan menyerangmu dari belakang. Bila aku berada di belakang, aku ke depan kerana bimbang ada musuh akan menyerangmu dari depan. Kalau terjadi apa-apa, biarkan aku dulu yang menahannya.”

MashaAllah !

Mulianya hati seorang as-siddiq !

Siapa yang menuntutnya berbuat demikian?

Tidak ada melainkan dirinya sendirilah yang merasakan keperluan untuk beliau melakukan sedemikian.

Sehingga ketika berada di dalam gua Tsur pun, sewaktu mereka sedang bersembunyi dari buruan musyrikin Makkah, beliaulah yang menawarkan diri untuk masuk memeriksa gua itu dulu sebelum dimasuki oleh baginda s.a.w. Bimbang beliau kalau-kalau ada binatang-binatang berbisa yang akan melukakan tubuh Rasul s.a.w.

Kisah yang sangat identik bagi siapa-siapa sahaja yang inginkan hubungan persahabatan yang benar dan kekal hingga ke syurga. Allah rakamkan peristiwa ini di dalam surah A-Taubah, 70 yang bermaksud :

“…sedang dia salah seorang dari dua orang ketika kedua-duanya berada dalam gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, “Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”

Syeikh Ali As-Sobuni menyebutkan dalam tafsirnya, Sofwatut Tafasir berkaitan dengan penggunaan perkataan ‘sahabat’ dalam ayat ini yang menunjukkan betapa besarnya kedudukan Abu Bakar di sisi Rasul s.a.w. sehingga Allah menjadikannya sebagai peneman baginda di dalam gua juga teman setianya dalam perjalanan hijrah.

Kisahnya termaktub di dalam Al-Quran. Menunjukkan betapa hebatnya seorang sahabat bernama Abu Bakar ini.

Persahabatan sehebat ini tidak mungkin terbina tanpa cinta. Dan cinta yang sebenar tidak mungkin lahir kalau ia tidak berpaksikan iman kepada Allah.

Ramai orang yang mengaku-ngaku bercinta pada hari ini, tetapi akhirnya yang dikatakan cinta itu membawa kepada keretakan dan kerosakan dalam hidupnya. Ramai orang yang bersahabat dan berkawan hari ini, tetapi tidak jujur dan tidak sabar, akhirnya banyak berlaku pecah amanah dan keji-mengeji.

Tetapi tidak bagi insan bernama Abu Bakar. Persahabatannya adalah benar kerana Allah s.w.t. tanpa mengharapkan apa-apa pulangan dari Rasul s.a.w.

 

Maka, Itulah Yang Membuatkan Rasul s.a.w. Mengasihinya

Dalam satu hadis, Nabi s.a.w. telah menggambarkan betapa kasihnya baginda kepada Abu Bakar sehingga baginda ingin mengambilnya sebagai kekasihnya jika ia mampu :

“Kalau aku boleh mengambil dari ummatku seorang kekasih, nescaya aku akan memilih Abu Bakar sebagai orang itu tetapi dia adalah saudaraku dan sahabatku.” [HR Bukhari, no. 3656]

Kita semua sebenarnya sedang berjalan pulang kepada Allah s.w.t. Kalau Rasul s.a.w. pun memiliki sahabat di kanan kirinya membantu perjuangannya, memiliki Abu Bakar sebagai sahabat paling setia dalam hidupnya, maka apakah kita yang penuh kelemahan ini mampu berjalan bersendirian pulang kepada Allah?

Sudah tentu tidak.

Kita perlukan sahabat. Sahabat untuk bersama-sama melengkapi diri kita, membaiki salah silap kita dan saling menguatkan di atas jalan pulang menuju Allah.

Bukanlah sahabat jika dia mengiyakan dan membenarkan semua tindakan kita walaupun ada tindakan kita yang salah. Sahabat yang sebenar adalah mereka yang bersedia bersama-sama kita susah dan senang berjuang di atas jalan pulang menuju Allah s.w.t.

 

Penutup : Ketika Cinta Menyerahkan Segalanya

Kita, jika ada wanita atau lelaki yang kita cintai, maka kita akan bersedia untuk menyerahkan segala-galanya daripada bahagian diri kita untuknya. Sebab itu ada orang sanggup ‘menggadaikan’ dirinya atas nama cinta walaupun itu sebenarnya bukanlah cinta. Itu adalah dusta.

Orang yang bijak menyerahkan dirinya di atas jalan yang pasti. Itulah yang telah dilakukan oleh Abu Bakar.

Beliau memilih untuk terus mendokong dan bersama dalam perjuangan bersama Rasul s.a.w. Serentak dengan itu, beliau juga yang memilih untuk terus berada di samping Rasul s.a.w. menjadi sahabat terpercaya dan temannya yang tetap setia.

Siapakah yang sanggup menahan keperitan dipukul, dibelasah oleh musyrikin kerana mempertahankan apa yang dibawa oleh sahabatnya? Siapakah yang sanggup bersusah-payah menahan kakinya di lubang binatang berbisa, kemudian disengat pula, hanya kerana semata-mata mahu melihat sahabatnya tidur lena? Siapakah yang sanggup menyerahkan seluruh hartanya demi perjuangan yang dibawa oleh sahabatnya?

Barangkali kalau kita berada di tempatnya, kita lebih rela meninggalkan kesusahan dan keperitan ini kerana memikirkan penderitaan yang bakal kita alami.

Tetapi tidak bagi Abu Bakar. Penderitaan yang dialaminya itu tidaklah bermakna apa-apa jika dibandingkan dengan persahabatannya itu dengan Rasul s.a.w.

Itulah hebatnya seorang sahabat bernama Abu Bakar. Ketika cinta berbuah di hatinya, maka demi perjuangan yang dibawa sahabat karibnya itu, dia bersedia menyerahkan segala-gala di dalam hidupnya. Kita pula bagaimana ?

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Afdholul Rahman)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan