Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,759

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ketibaan Pelancong Ke Sabah Sehingga Mei 2016 Jana RM2.852 Bilion – Masidi

7:21pm 08/08/2016 Pak Roshan 340 views Berita Pilihan,Laporan Sidang DUN,Mutakhir
Masidi Manjun

Masidi Manjun

KOTA KINABALU : Ketibaan 1,337,126 pelancong ke Sabah sehingga Mei tahun ini, menjana pendapatan negeri sebanyak RM2.852 bilion, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun.

Menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini, Masidi berkata jumlah pendapatan itu meningkat 5.3 peratus berbanding RM2.709 bilion dalam tempoh sama tahun lalu yang merekodkan ketibaan seramai 1,295,484 pelancong.

“Daripada jumlah tersebut (ketibaan pelancong sehingga Mei tahun ini), seramai 882,109 orang adalah pelawat domestik manakala 455,017 orang adalah pelawat antarabangsa,” kata Masidi.

Menurut Masidi dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini juga, China (termasuk Hong Kong) merupakan penyumbang utama ketibaan pelancong antarabangsa ke Sabah dengan catatan 143,199 pelancong iaitu peningkatan 49.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya Korea Selatan merekodkan ketibaan antarabangsa kedua tertinggi dalam tempoh berkenaan iaitu 75,585 orang iaitu meningkat 33.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut Masidi pelancong Brunei Darussalam merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan ketibaan seramai 37,702 orang manakala Taiwan pula 20,106 pelancong iaitu masing-masing meningkat 4.4 peratus dan 34.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Walaupun terdapat sesetengah pasaran seperti Singapura, Jepun, Australia, United Kingdom, Filipina dan Indonesia (ketibaan melalui udara) merekodkan penurunan namun ketibaan pelawat yang memberangsangkan dari Asia Utara seperti China (termasuk Hong Kong), Taiwan dan Korea Selatan berjaya mengimbangi penurunan tersebut,” kata Masidi.

Katanya penurunan ketibaan pelancong dari Australia dan United Kingdom disebabkan nasihat perjalanan (Travel Advisory) oleh kerajaan negara tersebut kepada rakyat mereka yang ingin melancong ke Sabah terutama di pantai timur negeri ini.

Sehubungan itu katanya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, melalui Lembaga Pelancongan Sabah (LPS), telah dan akan terus berusaha meningkatkan keyakinan pelancong untuk melawat Sabah termasuk mengeluarkan ‘Sabah Advisory’ di laman sesawang LPS.

“Sabah Advisory yang dikeluarkan pihak LPS di laman webnya memberi maklumat terkini tentang keadaan keselamatan di Sabah serta langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menangani ancaman keselamatan,” katanya.

Menurut Masidi pihaknya turut mengadakan taklimat kepada ketua misi asing di Kuala Lumpur untuk menerangkan keadaan semasa di Sabah bagi tujuan itu selain menganjurkan lawatan suai kenal kepada media dan pengusaha pelancongan untuk merasai sendiri pengalaman melawat tempat menarik di Sabah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan