Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,796

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kesusahan Rohingya, Sejauhmana Kepedulian Kita?

11:33am 30/11/2016 Zakir Sayang Sabah 42 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Sejarah pelarian Rohingya ini sebenarnya adalah terlalu panjang. Pada Mei 2015, negara telah dikejutkan dengan kehadiran ribuan etnik Rohingya yang belayar di Selat Melaka.

Terkini, isu mengenai kekejaman yang berlaku di Rohingya rancak disiarkan di media massa. Sesetengah berita di Malaysia telah menyiarkan tentang jumlah pembunuhan dan penganiayaan yang amat tinggi. Berikut adalah beberapa sumber berita yang melaporkan tentang Rohingya.

Pada 9 Oktober 2016, telah dilaporkan bahawa terdapat serangan oleh militan Rohingya terhadap pos kawalan di sempadan yang telah mengakibatkan 9 orang polis Burma terkorban. Akibat daripada peristiwa tersebut, seluruh masyarakat Rohingya telah dituduh bersalah walaupun tiada bukti yang kukuh dan balasan ke atas mereka telah dijalankan oleh tentera dan polis Burma.

Pada 31 Oktober 2016, The Independent telah melaporkan mengenai pembunuhan dan rogol secara beramai-ramai oleh tentera Burma. The Huffington Post juga melaporkan perkara yang sama pada 10 November 2016 di mana pengarang telah mengeluarkan amaran bahawa akan berlaku penghapusan etnik Rohingya Myanmar.

Laporan media Al-Jazeera bertarikh 13 November 2016 telah memetik pernyataan oleh Human Right Watch (HRW) mengenai imej satelit di beberapa buah perkampungan Rohingya di Rakhine telah dibakar. Berdasarkan HRW, sebanyak 430 buah bangunan di 3 perkampungan Maungdaw utara telah dimusnahkan.

BBC pula telah melaporkan sebanyak 130 kaum Rohingya telah dibunuh dalam tempoh sebulan manakala Washington Post menganggarkan jumlah kematian adalah sebanyak 150 orang dalam masa beberapa hari. Ini tidak termasuk yang mengalami kecederaan, hilang dan menjadi pelarian.

Reaksi Pemimpin Dunia

Rentetan daripada isu Rohingya ini, kebanyakan pemimpin di dunia didapati kurang mengecam tindakan Myanmar. Apa yang menghairankan lagi, pemimpin Myanmar yang terkini adalah seorang penerima Hadiah Keamanan Nobel dan pejuang kebebasan.

Eksploitasi Etnik Rohingya di Malaysia

Pelarian Rohingya di negara ini kebanyakannya tinggal di kawasan yang terlalu miskin dan bekerja adalah salah di sisi undang-undang. Mereka juga tidak diberi peluang untuk menikmati perkhidmatan asas seperti pendidikan dan perubatan. Eksploitasi ke atas mereka juga berlaku hampir di setiap peringkat oleh kerana tiada undang-undang yang melindungi mereka. Contohnya, perkhidmatan teksi. Bayaran yang dikenakan adalah berganda-ganda jika dibandingkan dengan rakyat tempatan. Caj kemasukan hospital juga didapati hampir dua kali ganda berbanding rakyat tempatan. Di kaunter pendaftaran hospital atau klinik, mereka sering menerima ugutan yang tidak munasabah dan sering disiasat. Dalam sektor pekerjaan pula, kebanyakan majikan membayar gaji yang sedikit walhal tenaga mereka dipergunakan secara percuma.

Yang digelar penguatkuasa undang-undang pula yang banyak melakukan jenayah ke atas golongan yang lemah ini dengan memeras ugut wang. Mereka juga sering diberi pilihan sama ada mahu membayar rasuah atau ditahan.

Kerisauan yang Timbul Akibat Penghijrahan Mereka

Beberapa perkara yang diberi perhatian berkaitan dengan isu kemasukan pelarian Rohingya secara beramai-ramai ini.

Yang pertama adalah kekangan sumber. Sebenarnya kita mempunyai bekalan sumber yang lebih daripada cukup jikalau kita tahu bagaimana untuk mengurusnya dengan baik. Jika status quo berterusan seperti rasuah, tidak telus dalam tadbir urus kekayaan, pembaziran dan sebagainya, ianya tidak akan pernah mencukupi sama ada dengan kedatangan pelarian atau tidak. “Dunia adalah cukup untuk keperluan setiap orang, tetapi tidak untuk orang yang tamak”.

Selain daripada itu, kumpulan pelarian juga digelar sebagai beban ekonomi. Jikalau ada, faktornya mungkin mereka disisihkan atau tidak diberi izin untuk menyumbang kepada ekonomi. Kajian telah membuktikan bahawa kumpulan pelarian menyumbang secara positif terhadap ekonomi tuan rumah dengan meningkatnya produktiviti, wujudnya pasaran baru, peningkatan dalam sektor penggunaan, galakan dalam dagangan dan juga dalam aktiviti perniagaan.

Yang kedua adalah kesan demografik ke atas penghijrahan dan konflik budaya. Masyarakat sering berprasangka dan takut akan kedatangan kumpulan pelarian tersebut. Sebenarnya, kepelbagaian budaya dapat mewujudkan satu masyarakat yang kuat dan matang. Ini menggalakkan perkongsian idea, komunikasi yang berkesan, memupuk nilai kemanusiaan dan meningkatkan produktiviti. Suasana majmuk juga merupakan faktor kekuatan, kreativiti dan inovasi sesuatu masyarakat.

Reaksi Rakyat Malaysia

Secara amnya, rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan penganiayaan ke atas etnik Rohingya ini. Kerajaan kita masih belum dapat mewujudkan rangka kerja yang sepatutnya bagi membantu pelarian tersebut. Ini adalah mungkin disebabkan kurangnya desakan politik dan juga wujudnya kekeliruan dan kesamaran dalam usaha untuk menyelesaikan perkara ini.

Penghijrahan mereka ke negara ini pula sering diburuk-burukkan dan diberi gambaran negatif oleh media. Atas sebab itu, kebanyakan rakyat Malaysia diselubungi dengan perasaan serba-salah. Perasaan simpati hanya hadir apabila membaca berita-berita tentang penderitaan mereka, manakala perasaan tidak selesa pula timbul apabila melihat mereka masuk ke negara ini secara beramai-ramai.

Ayuh, Kita Bertindak!

Kita sebenarnya berupaya untuk mendesak kerajaan agar dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam menangani isu ini pada peringkat tempatan dan antarabangsa.Pakar-pakar, ahli akademik dan pembuat polisi harus duduk bersama-sama untuk merangka strategi bagi menguruskan kumpulan pelarian itu dengan lebih efektif. Kita juga boleh menekan kerajaan Myanmar melalui dutanya. Sebagai individu yang prihatin dengan penderitaan mereka, kita juga boleh menulis, mengadakan forum dan perbincangan, menjadi sukarelawan dengan melibatkan diri dalam pelbagai organisasi. Bangkitkan isu ini walau di mana kita berada. Walaupun usaha kita nampak kecil tetapi ianya dapat memperbaiki sedikit sebanyak keadaan pelarian ini.

Tanamkan dalam minda kita bahawa kita sama sekali tidak akan berkompromi dengan ketidakadilan dan penindasan ke atas orang Rohingya di Myanmar. Jikalau kita biarkan penderitaan dan ekploitasi terhadap mereka di negara kita, tidakkah kita juga sama seperti seorang penindas? Tidakkah kita rasa bersalah dan bersubahat jika kita masih tiada rasa belas kasihan dan bersikap acuh tak acuh?

Kredit

Dr Raudah Md Yunus
Researcher and Activist
Asean Young Leadership Forum
Malaysia

(Sumber: QuranicGen.com)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan