Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kesesakan ditangani menjelang Tahun Baharu Cina

1:04pm 03/02/2016 Pak Roshan 138 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

dsc015822

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan menempatkan anggota trafik di kawasan dijangka berlaku kesesakan lalu lintas teruk menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Isnin ini.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Deputi Superintendan Dingka Utoh, berkata seperti perayaan lain, kesesakan berlaku beberapa hari sebelum Tahun Baharu Cina berikutan orang ramai keluar untuk membeli-belah dan membuat persiapan saat akhir.

Katanya, pihaknya sudah merangka beberapa strategi untuk memantau dan mengawal lalu lintas bagi mengurangkan kesesakan.

“Antara kawasan tumpuan ialah bandar raya ini kerana kita jangka banyak kenderaan bergerak masuk dari luar daerah hingga menyebabkan kesesakan teruk,” katanya pada kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina anjuran Allianz Malaysia dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Penolong Pengurus Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad Cawangan Kota Kinabalu, Rizaol Z Arbi Bujang dan Penolong Pengarah JKJR negeri, Mohd Khalid Mohd.

Sementara itu, Dingka berkata, dua kematian akibat kemalangan jalan raya dilaporkan sejak Op Selamat kelapan yang bermula 1 Februari lalu.

“Dua yang maut adalah kanak-kanak berusia empat tahun iaitu kedua-duanya pejalan kaki di Kota Kinabalu dan Pitas,” katanya sambil menambah salah seorang mangsa adalah murid tadika yang secara tidak sengaja dirempuh ibunya di Luyang, dekat sini, Selasa lalu.

Terdahulu, Rizaol berkata, kempen itu bertujuan memupuk kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan orang ramai yang pulang ke kampung meraikan Tahun Baharu Cina.

“Selain topi keledar dan risalah kesedaran keselamatan jalan raya secara percuma, kami turut mengedarkan tempat duduk khas kanak-kanak bagi mereka yang mempunyai anak dalam kenderaan.

“Berdasarkan pemantauan, masih kurang kesedaran orang ramai menyediakan tempat duduk khas kanak-kanak walaupun penting bagi mengelak perkara tidak diingini terhadap anak mereka,” katanya.

Mohd Khalid pula berkata, JKJR Sabah sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi untuk mengadakan kempen keselamatan jalan raya.

“Setiap agensi mempunyai pendekatan berbeza dalam kempen keselamatan jalan raya dan penganjuran bersama adalah yang terbaik bagi mempelbagaikan cara serta pendekatan untuk menyedarkan masyarakat,” katanya. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan