Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,688

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Keselamatan Tawau Perlu Diperkukuh Elak Jadi Transit Jenayah Rentas Sempadan

7:41pm 01/12/2015 Pak Roshan 414 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

JETI TAWAU

TAWAU : Keselamatan di Tawau perlu diperkukuhkan bagi mengelak ia menjadi kawasan transit kegiatan jenayah rentas sempadan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Beliau mengingatkan pasukan keselamatan supaya tidak leka dalam tugas kerana daerah ini terdedah kepada penjenayah rentas sempadan yang sentiasa mencari peluang menjalankan kegiatan mereka melalui daerah ini.

“Walaupun daerah ini aman damai, tetapi jangan sangka tiada buaya. Beberapa ancaman keselamatan turut berlaku terutamanya penyeludupan, pemerdagangan manusia, penculikan dan dijadikan kawasan transit pengganas,” katanya ketika berucap pada majlis serah terima tugas jawatan ketua polis daerah Tawau, di sini Selasa.

Jalaluddin berkata Tawau juga merupakan salah satu daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dan kedudukannya “paling hujung di negeri ini” yang berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan perairan Laut Sulu serta Laut Sulawesi.

Oleh itu, beliau berkata isu persempadanan membabitkan Tawau, yang masih dipertikaikan oleh negara luar, juga perlu sentiasa diberi perhatian.

“Kita masih berhadapan dengan banyak lagi gangguan dari segi pencerobohan kawasan, termasuk nelayan tempatan yang menangkap ikan di perairan negara tetapi ditangkap oleh pihak berkuasa negara jiran (Indonesia) kerana menganggap kawasan itu kawasan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata selain aspek keselamatan yang perlu diperkukuhkan, kedudukan strategik daerah ini menjadikan ia kawasan yang berupaya menjana ekonomi.

Jalaluddin turut meminta semua ketua polis daerah menjalinkan hubungan silaturrahim bagi mengukuhkan kawasan sempadan daerah masing-masing.

Pada majlis itu, bekas Asisten Komisioner Pasukan Petugas Khas Bukit Aman ACP Fadil Marsus menerima tugas ketua polis daerah daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Supt. Mustaffa Maarof Mustaffa, yang memangku ketua itu sejak Jun lepas.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan