Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Keselamatan rakyat semasa PRU-14 sentiasa menjadi keutamaan

KOTA BELUD: Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein menyatakan, pihak anggota keselamatan akan memastikan keselamatan sentiasa terjamin apabila tiba Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau menyatakan, anggota keselamatan sentiasa bersiap sedia untuk memastikan Pilihan Raya Umum Ke-14 akan dapat berjalan dengan lancar dan berharap pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti memperlekehkan keupayaan anggota keselamatan dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

Menurut beliau, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memperlekehkan keupayaan anggota keselamatan adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku dan mereka harus sedar bahawa mereka tidak mempunyai perancangan yang lebih baik berbanding apa yang telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada.

“Saya nak mengingatkan kepada orang ramai bahawa sesungguhnya nak menuding jari kepada pihak berkuasa memang mudah terutama dalam landskap politik yang toksik ini malah nak menanam kebencian dan mewujudkan pecah belah dan nak memecahbelahkan perpaduan yang kita wujudkan selama ini memang mudah tetapi apa perancangan mereka untuk membuat lebih baik daripada apa yang telah kita buat.”

“Dari segi keselamatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 ini, saya bersama-sama dengan Datuk Sri Zahid, ATM, dan PDRM akan menjamin dan membuat apa sahaja yang patut untuk memastikan bahawa rakyat akan dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Demonstrasi Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia, di Kem Paradise, Kota Belud, hari ini.

Demonstrasi kesiagaan  angkatan tentera malaysia itu melibatkan sebahagian aset angkatan Tentera Malaysia milik Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia Dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang ditempatkan di Sabah.

Menjawab persoalan sekiranya terdapat ancaman keselamatan dari pihak luar terutama sekali menjelang pilihan raya akan datang, beliau menyatakan orang ramai tidak seharusnya memandang mudah mengenai kejadian yang berlaku di Marawi.

Menurut beliau, berdasarkan risikan yang telah lama dilakukan, kejadian di Marawi boleh memberikan kesan sekiranya langkah proaktif tidak diambil.

“Risikan kita dengan negara negara jiran pun telah wujud begitu lama, tak mungkin apa yang menular di Marawi , kita tak akan rasa kesannya  sekiranya kita tak ambil tindakan yang proaktif, saya juga berharap agar rakyat tidak memandang ringan dengan apa yang telah kita buat seperti program hari ini,”katanya.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Panglima Angkatan Tentera, Yang Mulia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Radzi Abdul Rahim dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan sri Datuk Seri Affendi Buang./SayangSabah

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein ketika ditemui media sempena program berkenaan.-Gambar Oleh Alex Mairin

Komen


Berita Berkaitan