Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kesederhanaan Dalam Kehidupan Perlu Jadi Amalan Rakyat Malaysia – Salleh

10:06am 15/11/2015 Pak Roshan 33 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

salleh

KOTA KINABALU : Kesedaran dan kefahaman mengenai kesederhanaan dalam segala aspek kehidupan perlu dijadikan amalan setiap rakyat di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata melalui amalan kesederhanaan itu, ia akan memudahkan masyarakat majmuk di negara ini menggarap keharmonian yang menjadi keutamaan di dalam negara seperti Malaysia yang memiliki kepelbagaian latar belakang sosial dan budaya dalam kalangan rakyatnya.

“Pemahaman yang berunsurkan ektremis biar apa pun matlamatnya adalah amat berbahaya dan mendatangkan kemusnahan dan kemudaratan kepada ramai orang, seperti mana kita saksikan di kota Paris,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2015 di sini Sabtu malam.

Turut hadir ialah anggota Exco Penerangan Negeri Sabah Datuk Sapawi Ahmad, Pengarah Penerangan Sabah Datuk Almain Ajirul dan Pengarah Penyiaran Sabah, Ali Ngasio.

Justeru, kata Salleh, kerajaan melalui pelbagai agensinya terus berusaha menganjurkan pelbagai kempen untuk mendidik masyarakat supaya menghargai keamanan memandangkan ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengganggu-gugat keamanan dengan mempertikaikan amalam sistem pemerintahan demokrasi negara ini.

Katanya golongan ini bukan sahaja cuba menafikan hak pemerintah yang dipilih rakyat secara demokrasi untuk menerajui pentadbiran kerajaan malah sengaja menyebarkan maklumat palsu, imej dan gambar-gambar yang ditokok tambah melalui pelbagai media sosial untuk mengganggu kelicinan pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Menurut Salleh apabila paparan maklumat, imej dan gambar ditokok tambah dari semasa ke semasa seperti itu diviralkan terus-menerus, lama-kelamaan akan membentuk kepercayaan dalam kalangan rakyat seolah-olah ia adalah benar.

Dalam konteks ini, Salleh mengingatkan rakyat agar lebih berhati-hati dan bijak serta tidak menerima bulat-bulat apa yang disogokkan kepada mereka.

Rakyat, kata Salleh, harus berusaha untuk mendapatkan pengetahuan bagaimana untuk menapis dan menyaring kebenaran sesuatu perkara yang disebarkan melalui media sosial.

“Sebab itulah, kementerian (ini) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil serius dari segi penguatkuasaan dalam membendung semua perkara ini melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Akhirnya kita harus mengakui kita perlu punya rasa kebertangungjawaban dalam menghindari tercetusnya provokasi terhadap keharmonian kaum, agama, perpaduan, politik, ekonomi dan sosial,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Salleh turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pelbagai kategori pertandingan berkaitan semangat cintakan negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan lalu.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan