Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,738

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kes Viral : Pelaku Kes Langgar Lari Di Jalan Wakuba – Inderasabah Diberkas

10:06am 20/11/2016 Pak Roshan 12 views Jenayah,Mutakhir

gari

Tawau, 19 November 2016 – Hancur hati seorang ibu apabila melihat anak perempuannya dilanggar di depan mata oleh sebuah kenderaan dalam peristiwa tragis yang berlaku lebih kurang jam 10 pagi, 13 November lepas di Jalan Wakuba-Inderasabah.

Lebih menyedihkan apabila si pelaku terus melarikan diri seolah tidak ada apa-apa berlaku walhal mangsa tercampak sejauh 38 meter ke bahu jalan akibat impak perlanggaran. Mangsa bagaimanapun tidak dapat diselamatkan apabila meninggal dunia dalam perjalanan menuju ke hospital kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian leher dan seluruh badan.

Usaha menjejaki suspek dilakukan oleh sepasukan polis diketuai ASP Joan Lee, Pegawai Penyiasat dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Tawau. Pihak polis menemukan klu pertama kes iaitu sebuah kereta jenis proton Waja yang digunakan suspek pada hari kejadian yang ditinggalkan di Kampung Apas Parit.

Hasil maklumat risikan dan bantuan orang awam, suspek yang merupakan seorang lelaki berumur 25 tahun tanpa dokumen pengenalan diri akhirnya berjaya dijejaki di sebuah rumah pekerja di Pasir Putih petang semalam. Suspek bagaimanapun bertindak agresif apabila menyedari kehadiran pasukan serbuan diketuai ASP Joan Lee dan mengacukan sebilah pisau pemotong sayur ke arah polis.

Suspek bagaimanapun tewas dan berjaya ditangkap hasil kerjasama pihak polis dan orang awam. Pemeriksaan lanjut dalam kawasan rumah, pihak polis turut merampas sebuah motorsikal curi yang dilaporkan hilang awal bulan ini dipercayai digunakan suspek untuk bergerak ke tempat lain.

Ujian saringan air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987, Seksyen 326, 403/379 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Pihak polis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada masyarakat Tawau khasnya kepada yang terlibat membantu pihak polis hingga tertangkapnya suspek berkenaan.

Sumber : Facebook Polis Daerah Tawau

motor pisau gari

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan