Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kes Saman Rahman Dahlan Terhadap Malaysiakini Selesai

10:23am 29/11/2016 Pak Roshan 470 views Isu Semasa,Mutakhir
Datuk Abdul Rahman Dahlan

Datuk Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah difailkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan terhadap penerbit portal berita Mkini Dotcom Sdn. Bhd. selesai secara baik melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam kenyataan penjelasan, portal Malaysiakini menerangkan artikel bertajuk “Minister’s ‘go back to kampung’ notion draws contempt” dan video yang diterbitkan di laman portal itu pada 6 November tahun lepas, tidak memberi gambaran sebenar kenyataan menteri itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Datuk M. Reza Hassan mewakili Abdul Rahman, manakala peguam K. Shanmuga mewakili Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan bagi pihak Mkini Dotcom dan wartawannya Geraldine Tong.

M. Reza ketika ditemui pemberita, bagaimanapun enggan mendedahkan terma-terma penyelesaian tetapi memaklumkan satu daripada terma itu ialah Malaysiakinidiminta menyiarkan kenyataan penjelasan berhubung penyelesaian kes itu di laman portal beritanya secepat mungkin.

Menurut kenyataan penjelasan diberikan kepada media, Malaysiakini setuju bahawa video Voxpop hanya petikan daripada komen menteri dan akibatnya, penerbitan meragukan itu tidak memberi konteks penuh tentang apa yang diperkatakan Menteri.

Malaysiakini berkata petikan itu diambil daripada sidang akhbar yang diadakan pada 3 November 2015 bersempena Hari Perancangan Bandar Sedunia.

Portal itu berkata dalam sidang akhbar itu, syarikat berkenaan mengakui Menteri menjelaskan dengan panjang lebar mengenai pembangunan bandar-bandar berdaya tahan, yang tidak terhad kepada kenyataan “go back to kampung” sahaja.

“Tetapi juga termasuk krisis kewangan, peningkatan kadar pengangguran, pengurangan makanan dan bekalan air serta kekacauan dan keganasan dalam masyarakat,” kata Malaysiakini.

Portal itu juga mengakui respons menteri terhadap “go back to kampung” merujuk terus kepada andaian ditimbulkan wartawan, dan Menteri juga menyatakan ucapannya diberikan sebelum itu memberi konteks sebenar kepada komen beliau.

“Kami memahami penyiaran (video itu) mendedahkan Menteri kepada ejekan dan menggambarkan beliau seorang yang tidak berhati perut dan tidak prihatin kepada nasib masyarakat inner city… Ini amat dikesali,” katanya.

Bagaimanapun, portal itu berkata Malaysiakini percaya bahawa mereka hanya melaporkan pandangan orang ramai apabila menerbitkan video Voxpop dan artikel berkenaan.

Abdul Rahman yang ditemui selepas prosiding itu berkata beliau gembira kes itu berjaya diselesaikan secara mediasi dan beliau mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk mencari penyelesaian.

Pada 13 Jan tahun ini, Abdul Rahman yang ketika itu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memfailkan saman fitnah terhadap Mkini Dotcom berhubung artikel dan video yang diterbitkan di laman portal itu.

Abdul Rahman yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO dan anggota Parlimen Kota Belud mendakwa artikel serta video diterbitkan tanpa kebenarannya itu tidak mencerminkan intipati asal sebaliknya ia disunting seolah-olah plaintif mengarahkan masyarakat di bandar pulang ke kampung.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa pada 6 November 2015, defendan secara semborono dan dengan niat jahat menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah dan palsu yang merujuk kepadanya, di laman sesawang www.malaysiakini.com yang bertajuk “Minister’s ‘go back to kampung’ notion draws contempt”.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud dirinya tidak mempedulikan kesusahan dialami masyarakat berikutan kenaikan kos sara hidup, tidak menggalakkan masyarakat untuk mencari pendapatan di bandar dan tidak sensitif terhadap isu semasa yang memberi kesan kepada masyarakat awam. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan