Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,651

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kes Penyakit Berkaitan Jerebu Meningkat Di Empat Daerah Di Sabah

9:30am 08/04/2016 Pak Roshan 532 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

jerebu

KOTA KINABALU : Kes penyakit berkaitan jerebu di empat daerah terjejas – Beaufort, Kuala Penyu, Papar dan Sipitang meningkat, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi

Beliau berkata peningkatan itu berdasarkan hasil pemantauan penyakit berkaitan jerebu yang dilakukan jabatan berkenaan di semua daerah terbabit.

Katanya Beaufort merekodkan peningkatan penyakit konjunktivitis (mata merah), selesema dan asma dengan 310 kes dicatatkan bagi tempoh tiga hari dalam minggu ini, berbanding 346 kes sepanjang minggu lepas.

Di Kuala Penyu, sebanyak 61 kes sama dilaporkan bagi tiga hari dalam minggu ini berbanding empat sepanjang minggu lepas.

“Data bagi daerah Sipitang dan Papar baru dilaporkan pada minggu ini tetapi menunjukkan bilangan pesakit yang tinggi terutama untuk penyakit pernafasan dan respiratori,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Christina berkata berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan Jabatan Alam Sekitar dari 2 hingga 4 April bagi Beaufort menunjukkan kualiti udara tidak sihat dan sangat tidak sihat, selain daerah itu pernah mencatat satu bacaan IPU merbahaya iaitu 301 pada 4 April.

“Namun, bacaan IPU bertambah baik semalam, pada status sederhana,” katanya.

Beliau, bagaimanapun berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan penyakit berkaitan jerebu dari semasa ke semasa.

Dr Christina turut mengingatkan orang awam supaya mengelak daripada terdedah kepada jerebu dengan mengurangkan aktiviti di luar dan mengambil langkah-langkah lain untuk menjaga kesihatan.

Individu mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung dan paru-paru kronik juga disaran supaya segera ke klinik jika keadaan bertambah teruk, katanya.

Orang awam juga diingatkan agar menggunakan penutup hidung dan mulut ketika berada di luar rumah; membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah jerebu dengan air bersih; menggunakan penghawa dingin jika menaiki kenderaan dan sentiasa minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

“Jika keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya, mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan keluar dari kawasan tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan