Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kes pendakwaan meningkat drastik

jonathan

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sabah mencatatkan peningkatan drastik bagi jumlah kes pendakwaan tahun ini.

Pengarah Kastam Negeri Sabah Datuk Dr Janathan Kandok berkata, setakat Jun lepas, sebanyak 83 kes pendakwaan dibawa ke mahkamah melibatkan kes penyeludupan rokok dan minuman keras.

Sebelum ini jelasnya, jumlah kes pendakwaan bagi tahun 2012 dan 2013 masing-masing merekodkan sebanyak empat dan 40 kes.

Menurutnya, peningkatan berkenaan diperolehi selepas pertukaran pendekatan daripada penyelesaian secara kompaun kepada pendakwaan di mahkamah.

“Usaha ini juga menunjukkan kejayaan berikutan penurunan beberapa jumlah kes yang dianggap kritikal di Sabah.

“Kita serius dalam mencegah kes penyeludupan rokok dan tanpa mengira berapa banyak sama ada 10 atau 20 kotak, kita tetap akan membawa kes terbabit ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Tugas Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sabah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) di Wisma Kastam Sabah di sini kelmarin.

Janathan berkata, berikutan dengan pencapaian itu, pihaknya menyasarkan untuk memperolehi lebih 100 kes pendakwaan hingga penghujung tahun ini.

Sasaran berkenaan jelasnya, seiring dengan matlamat untuk membebaskan Sabah dari jenayah penyeludupan rokok.

“Pencapaian ini juga hasil bantuan dan kerjasama dari agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Kita turut mengadakan operasi secara berterusan melibatkan agensi berkenaan bagi meningkatkan lagi jumlah kes pendakwaan.

“Kes yang dibawa ke mahkamah akan menerima hukuman yang lebih berat berbanding kompaun,” katanya.

Menurutnya, pendekatan baharu itu juga menimbulkan ketakutan kepada golongan penyeludup di negeri ini dan ia sekali gus membawa kepada penurunan jumlah kes berkaitan penyeludupan.

Beliau berkata, setakat Jun lepas, sebanyak 480 kes penyeludupan rokok direkodkan melibatkan nilai rokok sebanyak RM1.3 juta dan cukai sebanyak RM5.5 juta.

Pada majlis itu, Penolong Kanan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Madrim Tasan menerima tugas sebagai Pemangku Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sabah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) bagi menggantikan Hamzah Sundang yang dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Terengganu.

Komen


Berita Berkaitan