
BEAUFORT: Kejadian kes penculikan yang berlaku di negeri ini tidak menjejaskan jumlah pelancong yang datang ke Sabah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Haji Kamarlin Haji Ombi berkata, kejadian tersebut tidak menjejaskan jumlah pelancong yang datang ke negeri ini malah jumlah pelancong yang datang semakin meningkat sejak kebelakangan ini selepas jumlahnya menurun akibat kes pencerobohan Tanduo.
“Kes tersebut tidak menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini malah jumlah pelancong terutama pelancong dari China dan Korea terus meningkat.”
“Negara-negara luar juga mempunyai konsul di negeri ini dan jika mereka ragu-ragu dengan informasi berkaitan keselamatan yang kita keluarkan mereka boleh mendapatkan maklumat melalui konsul mereka di negeri ini,”katanya.
Beliau turut menyarankan agar pengusaha bot pelancong memastikan bot mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan sebagai persediaan jika berhadapan dengan kesulitan.
“Peralatan keselamatan terutama alat untuk berkomunikasi adalah penting sebagai persediaan di waktu kecemasan dan kita harus mengambil iktibar dari kejadian bot karam yang berlaku di negeri ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di sini, kelmarin.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran hampir seribu pengunjung serta turut di meriahkan dengan persempahan nyanyian.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman serta isteri. –Oleh Leolerry Lajius /Sayang Sabah.
