Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,651

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kes Demam Denggi Di Sandakan Terkawal

4:26pm 23/03/2016 Pak Roshan 17 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan

denggi

SANDAKAN : Jumlah kes demam denggi di daerah ini terkawal berikutan pelaksanaan operasi memerangi denggi secara besar-besaran di bawah Ops Mega Kawalan dan Pencegahan Denggi selama sebulan berakhir 15 Mac lepas.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata pada minggu ini terdapat satu kes demam denggi dilaporkan, manakala minggu lepas sebanyak tiga kes.

“Usaha masih dijalankan bagi memantau pembiakan nyamuk Aedes adalah membuat kaji selidik dan pelantikan ‘Communication for Behavior Impact’ (COMBI) di setiap kawasan perkampungan bagi memantau dan melaporkan kes tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya antara usaha yang dijalankan dibawah Ops Mega 2 adalah melakukan aktiviti penghapusan tempat pembiakan Aedes di kampung yang dikenal pasti berlaku perebakan wabak denggi.

Johari berkata aktiviti semburan kabus (fogging) masih dipergiatkan di perkampungan yang pernah menjadi lokaliti wabak denggi antaranya di Kampung Batu Putih, Tinusa 2, Taman Sejati Ujana, Taman Mesra dan Karamunting Baru.

Beliau meminta penduduk di kawasan terbabit terus menjaga kebersihan bagi memastikan tiada tempat jentik-jentik membiak yang menjadi punca wabak denggi merebak.

Sebanyak 913 kes denggi dilaporkan di negeri ini dari Januari hingga 10 Mac lepas, meningkat 70 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Daerah Sandakan mencatatkan kes denggi tertinggi sebanyak 319 diikuti Kota Kinabalu (152) dan Tawau (72) daripada keseluruhan kes denggi di Sabah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan