Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kes Altantuya: Azilah Dan Sirul Ke Tali Gantung Juga

altantuya

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan keputusan membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) terhadap tuduhan membunuh model Mongolia, Altantunya Shaariibu dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang membacakan penghakiman itu, berkata mahkamah mengetepikan pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 43, kerana membunuh Altantuya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah membunuh wanita itu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan dua anggota polis berkenaan.

Panel rayuan itu dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Hakim Suriyadi berkata selepas meneliti keterangan yang dikemukakan di mahkamah, dua anggota polis itu didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah seperti mengikut pertuduhan. Kami membenarkan rayuan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mensabit dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka,” kata Hakim Suriyadi.

Hakim Arifin mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar yang tidak hadir di mahkamah. Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memohon mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap itu.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt dan 1 pagi, keesokan harinya pada 20 Okt 2006.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013, membenarkan rayuan kedua-dua komando polis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 54, yang didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas mahkamah itu memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan