Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,499

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerjasama Rapat Dengan Semenanjung Disaran Untuk Jamin Keselamatan Sabah – Hishammuddin

8:50am 08/06/2014 Pak Roshan 25 views Tawau,Tempatan

hishammuddin

TAWAU: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyarankan agar diwujudkan kerjasama rapat antara Sabah dan Semenanjung Malaysia serta negara-negara jiran demi menentukan keselamatan di Sabah terus terjamin.

“Ini merupakan pendekatan baharu dan holistik yang diperlukan khususnya ESSCom pada masa akan datang,” tegas beliau.

Hishammuddin sebelum itu mendengar Taklimat Pelaksanaan Operasi dan Pengawasan Kawasan Timur Sabah oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2 ) di sini.

Beliau berkata, semua pihak juga perlu bekerjasama untuk memastikan rakyat di negeri ini terus hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Hishammuddin meminta rakyat tidak mengambil mudah tentang isu keselamatan di negeri ini khususnya di kawasan pantai timur Sabah.

Beliau berkata dua insiden penculikan di pantai timur Sabah baru-baru ini menunjukkan ada lagi perkara-perkara yang perlu ditangani bagi mengelak peristiwa seperti itu tidak berulang.

“Mungkin peristiwa pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu tahun lalu tidak lagi menjadi ancaman…tetapi insiden-insiden penculikan yang berlaku baru-baru ini menunjukkan kita perlu bekerja keras dan tidak ambil mudah mengenai perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata terdapat beberapa lagi perkara yang harus dilakukan oleh pihak keselamatan khususnya ESSCom bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan di pantai timur Sabah atau Zon Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSZone).

“Setelah mendengar taklimat secara terperinci saya rasa banyak lagi yang perlu kita lakukan dan saya percaya orang Sabah tidak mahu mendengar jaminan-jaminan.

“Oleh itu terdapat beberapa perkara yang telah kami bincang untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan ESSZone.

“Kita telah mempunyai beberapa perancangan termasuklah mengenal pasti tempat-tempat strategik seperti pelantar minyak, pulau-pulau dan resort yang yang sesuai untuk meletakkan kapal-kapal peronda.

“Saya telah berbincang dengan pihak berkenaan mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata semua usaha yang dilakukan itu bukan sahaja bertujuan menangani masalah pencerobohan seperti yang berlaku di Lahad Datu tahun lepas tetapi juga menangani masalah penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan