Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,521

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerjasama ibu bapa, guru penting : Hamisa

10:18am 30/03/2017 Elezebeth Esther Onjining 49 views Pendidikan,Tempatan

Kenangan….Hamisa bergambar kenangan bersama guru-guru dan ibu bapa serta murid sekolah.

TAWAU: Kerjasama erat antara ibu bapa dan guru sangat penting bagi warga sekolah meningkatkan prestasi dan kecemerlangan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hamisa Samat berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memainkan peranan lebih berkesan bagi membantu sekolah menyusun program yang bermanfaat kepada pelajar.

“Ibu bapa dan guru seharusnya bersikap positif dan sama-sama berganding bahu bagi merancang dan merealisasikan program yang boleh membantu meningkatkan pencapaian pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Kalabakan, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, selain menekankan pencapaian akademik, PIBG juga harus menggalakkan pelajar untuk menceburkan diri dalam aktiviti kokurikulum.

“Pelajar yang aktif dalam bidang kokurikulum juga telah membuktikan penglibatan dalam bidang tersebut tidak menjejaskan pencapaian akademik mereka malah membantu membentuk sahsiah mereka.

Hamisa yang juga Adun Tanjong Batu berkata penubuhan PIBG di setiap sekolah sebagai platform menghubungkan guru-guru, ibu bapa dan penjaga anak-anak di sekolah berkenaan.

Jelasnya pengerusi PIBG dilantik dari kalangan ibu bapa dan guru besar / pengetua sebagai penasihat, manakala Ahli-ahli jawatankuasa dilantik daripada kalangan guru dan juga ibu bapa.

“Mesyuarat PIBG diadakan setiap tahun untuk membincangkan isu-isu pendidikan anak-anak. Kebiasaannya ia diadakan di sekolah. Cadangan atau pandangan ini biasanya akan dibincangkan semasa mesyuarat PIBG,” tambahnya.

Beliau turut menyarankan penambahbaikan yang diterima dalam mesyuarat PIBG akan diguna pakai dalam sistem pentadbiran sekolah. Oleh itu, adalah sangat penting ibu bapa berusaha untuk menghadirkan diri ke mesyuarat PIBG.

Turut hadir sama Guru Besar SK Kalabakan, Haidir Tasmin, Pengerusi PIBG, Asmadi Suping, ahli jawatankuasa, ibu bapa dan guru-guru serta murid sekolah.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda