Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerjasama dengan RCI selesaikan masalah kanak-kanak jalanan warga asing-Jainab

KOTA KINABALU:  Pihak Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna sedang dalam usaha membuat cadangan penyelesaian mengenai kanak-kanak jalanan yang tidak ada dokumentasi dengan bantuan kepakaran secara strategi lautan biru dengan pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menurut menterinya, Datuk Hajah Jainab Hj. Ahmad Ayid, cadangan ini antara lain bagi memudahkan kanak-kanak bukan warganegara ini dapat menyumbang ekonomi dalam negeri daripada berkeliaran sebagai pengemis dan kanak-kanak jalanan.

“Dokumentasi ini bukanlah memberi kewarganegaraan tetapi bagi tujuan pekerjaan di sektor yang kurang diminati oleh penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli Datuk Seri Panglima Wilfred M. Bumburing yang bertanya apakah langkah yang telah diambil untuk menyelesaikan masalah kanak-kanak yang tidak ada dokumentasi  ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Mesyuarat Pertama Penggal keempat DUN yang ke-14, di sini, hari ini.

Sementera itu ketika menjawab soalan yang dimukakan oleh ADUN Sebatik Datuk Hj. Abdul Muis Bin Hj. Picho yang bertanya berapakah jumlah kanak-kanak jalanan yang direkodkan di negeri ini sehingga 2015 dan apakah langkah yang diambil bagi membantu golongan ini, beliau berkata setakat ini jumlah yang telah direkodkan adalah seramai 147 orang yang ditempatkan di rumah Perlindungan Ehsan sahaja.

“Langkah yang diambil bagi membantu golongan ini adalah bagi kanak-kanak warganegara, mereka akan dihantar sementara di rumah kanak-kanak Kota Kinabalu sehingga dituntut oleh ibu bapa atau waris dan jika tidak ada waris yang menuntut, mereka akan ditempatkan di rumah tersebut sehingga berumur 18 tahun.”

“Sepanjang berada di rumah tersebut mereka akan mengikuti aktiviti harian seperti kanak-kanak yang lain dan juga diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi yang mereka mampu,”katanya.

Sementara itu bagi kanak-kanak bukan warganegara pula, mereka akan dihantar ke rumah Perlindungan Ehsan dan akan dikembalikan kepada waris mereka jika ada yang menuntut dan jika tidak ada waris yang menuntut,  mereka akan kekal di sana sehingga pihak ‘Task Force’ menguruskan kepulangan mereka ke Negara asal.

Tambah Jainab, sepanjang bulan Januari hingga Disember 2015 pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melaksanakan operasi yang melibatkan kanak-kanak jalanan secara bersepadu sebanyak 200 operasi.

“Kanak-kanak yang terlibat sepanjang operasi tersebut adalah seramai 111 bagi warganegara dan seramai 834 bagi bukan warganegara,”katanya.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan