Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerjasama Dengan Negara Jiran Perlu Diperhebat – Komander ESSCom

Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid
Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid

KOTA KINABALU ; Kerjasama dengan negara jiran dalam menangani isu keselamatan di persempadanan perlu diperhebatkan lagi pada masa akan datang, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Beliau berkata biarpun tidak berdepan sebarang kesulitan untuk menjalankan operasi keselamatan secara bersama tetapi beberapa isu perlu diperhalusi seperti isu perundangan.

“Sistem perundangan setiap negara adalah berbeza. Oleh itu, perbincangan antara negara perlu diteruskan. Ini bagi menentukan beberapa pendekatan yang akan diambil seperti penyiasatan, mod penyerahan (suspek) dan pendakwaan,” katanya ketika menjadi panel Program Advokasi Ilmuan Majlis Profesor Negara (MPN) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Wan Abdul Bari juga berkata ESSCom sentiasa memantau dan menyelaras aktiviti pengoperasian di perairan dan tidak terbeban dengan pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap kecekapan agensi keselamatan itu.

Beliau juga menyarankan pengusaha resort dan bot nelayan supaya memasang alat pengesan dan komunikasi bagi memudahkan perhubungan dengan pihak berkuasa mengenai sebarang kegiatan yang mencurigakan.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur berkata agihan peluang ekonomi di kalangan rakyat dapat mewujudkan sikap taat setia kepada negara, sekaligus membangkitkan semangat rakyat untuk menolak pelbagai bentuk ancaman luar.

“Dalam kerajaan memperkasakan ekonomi rakyat, ini juga dapat menghapuskan tali barut penceroboh dalam masyarakat,” jelasnya.

Dekan Pengajian Siswazah Ghazali Shafie Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah pula berkata isu keselamatan dapat ditangani jika kerajaan mempunyai kesungguhan politik untuk memberi keselesaan dari segi pembangunan ekonomi untuk rakyat.

Beliau juga berkata kerjasama Kawasan Pembangunan ASEAN Timur Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) boleh memainkan peranan proaktif dalam mewujudkan kemakmuran ekonomi di rantau itu.

Program itu anjuran MPN bersama RTM, Utusan Malaysia dan UMS membincangkan tajuk “Terjaminkah Keselamatan Sabah?” dengan Mohammed Hisham Mohamad Salleh dari RTM sebagai pemudahcara.

Ketika ditemui pemberita, Ketua Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata hasil perbincangan daripada program itu akan disampaikan kepada kementerian dan agensi berkenaan bagi membantu penghasilan dasar-dasar baharu.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan