Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerjasama agensi, NGO Islam rintis persefahaman, hakis prasangka

Musa (tengah), Ariffin (enam dari kanan ) dan Halim (tiga dari kanan) bergambar berkumpulan dengan penerima Anugerah khas sempena Majlis Sungkai Perdana Agensi-Agensi Islam Sabah 2015 anjuran MUIS. - foto ihsan JKM
Musa (tengah), Ariffin (enam dari kanan ) dan Halim (tiga dari kanan) bergambar berkumpulan dengan penerima Anugerah khas sempena Majlis Sungkai Perdana Agensi-Agensi Islam Sabah 2015 anjuran MUIS. – foto ihsan JKM

KOTA KINABALU – Penglibatan aktif agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam menggembleng usaha melaksanakan aktiviti dakwah dan kebajikan di negeri ini merupakan petanda positif serta perlu dipertingkatkan.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, yang berbangga dengan perkembangan memberangsangkan itu, beliau yakin ia sedikit sebanyak kesan daripada usaha dakwah dan tarbiah dilaksanakan selama ini.

“Adalah menjadi harapan kita agar budaya beramal kebajikan ini terus subur di negeri ini, seterusnya memberi sumbangan kepada usaha memperkasakan ummah daripada pelbagai aspek.

“Kita percaya ia akan dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi jalinan kerjasama NGO dan agensi Islam di Sabah bagi menjayakan matlamat bersama membela mereka yang kurang bernasib baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Agensi Islam Sabah anjuran Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini semalam.

Dalam majlis itu, Musa turut menyampaikan Anugerah Khas serta sumbangan kepada anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

Hadir sama, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ariffin Mohd. Arif dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Abd. Halim Nayan.

Sudah tentu, tambah Musa lagi, aktiviti itu dapat menyumbang ke arah memupuk sikap dan keinginan berbuat kebajikan dalam kalangan umat Islam.

Kata beliau lagi, budaya itu juga membuktikan sikap tidak mengenal batas ideologi, fahaman kaum, agama, bangsa dan warna kulit.

“Ia secara tidak langsung dapat menghilangkan rasa tersisih atau disisihkan dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik seperti anak yatim yang diraikan dalam majlis ini.

“Sehubungan itu, kolaborasi dan penyatuan semua agensi Islam yang terlibat menganjurkan majlis ini amat dialu-alukan. Hubungan yang terjalin erat ini dapat merintis kewujudan persefahaman lebih baik dengan menghakis sebarang prasangka,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan pentingnya perhatian diberi terhadap pembangunan modal insan yang berkualiti dan dapat memberi nilai tambah sebagai mana diperlukan negara yang sedang membangun. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan