Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kereta sekerap

SKHOSANA menayangkan kereta ciptaannya menggunakan barangan terpakai. – Agensi

 

Pretoria: Kemiskinan mencetus idea kreatif seorang penganggur berusia 50 tahun apabila berjaya mencipta sebuah kereta daripada besi buruk sekali gus menjadikannya popular di kampungnya di Moloto, Afrika Selatan.

Sejak hilang pekerjaan lebih 10 tahun lalu, Simon Skhosana sentiasa mengasah kreativitinya dengan menghasilkan sesuatu untuk kegunaannya dan penduduk setempat.

“Saya enggan mengalah atau meminta simpati sesiapa ketika itu jadi berusaha mencari rezeki membaiki basikal dan membuat kereta mainan menggunakan wayar terpakai yang dijaja sepanjang lebuh raya,” katanya.

Susulan itu, dia akhirnya mendapat idea menghasilkan kereta sendiri selepas pengalaman sukar membawa anak ke hospital ketika sakit.

“Sebelum ini, saya tidak dapat menghantar anak ke hospital kerana tiada wang menyediakan pengangkutan. Kini saya bangga apabila berjaya mencipta kereta yang boleh menghantar anak ke mana saja termasuk sekolah,” katanya.

Kereta terbabit ciptaan terbarunya tetapi mengakui mengambil masa dan beberapa kali percubaan untuk mendapatkan hasil yang baik.

Antara hasilnya yang berjaya termasuk trak pikap dicipta menggunakan kereta sorong bayi dengan dua tempat duduk yang dijual dengan harga N8,500 (RM100), tahun lalu.

Bapa beranak dua itu menggunakan dua rantai untuk menggerakkan pedal kereta berkenaan dan ia turut dilengkapi 11 gear, brek kaki, stereng, cermin belakang dan penggilap cermin hadapan yang dikendalikan secara manual.

Katanya, dia bangga dengan hasil ciptaannya itu yang boleh digunakan sebagai pengangkutan utama keluarga selain dapat menghantar kanak-kanak ke sekolah.

Walaupun keluarga dan penduduk Moloto berbangga melihat hasil kreativitinya itu, namun ada juga yang menjadikannya bahan jenaka.

Skhosana berkata, kadangkala polis trafik cuba menghalangnya dan ada juga yang mentertawakannya sambil menyuruhnya mengambil lesen memandu.

“Walaupun hanya memandu di laluan kecemasan, namun ada juga segelintir polis trafik cuba menghalang saya.

“Mereka mentertawakan saya dan meminta saya mengambil lesen memandu,” katanya. – Agensi/HMetro

Komen


Berita Berkaitan