Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,694

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerelevanan Beberapa Barang Kes Dengan Pencerobohan Lahad Datu Tidak Dapat Disahkan

6:31pm 02/11/2015 Pak Roshan 468 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

forensik

KOTA KINABALU : Seorang penganalisis forensik tidak dapat mengesahkan kerelevanan beberapa barang kes digital dengan “Ops Daulat”, operasi untuk mengusir penceroboh Lahad Datu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Penganalisis forensik digital kanan CyberSecurity Malaysia Jazreena Abdul Jabar berkata ini berdasarkan analisis yang dijalankan ke atas data yang dikeluarkan daripada barang kes.

“Dalam perenggan 5.0 di muka surat sembilan Laporan Forensik Keselamatan Siber, ia menyatakan bahawa daripada analisis forensik yang dijalankan ke atas barang kes, beberapa data dan dokuman telah dikeluarkan.

“Bagaimanapun, DFD (Jabatan Forensik Digital CyberSecurity Malaysia) tidak dapat mengesahkan penemuan berkaitan Ops Daulat yang menunjukkan niat atau perancangan menceroboh negeri Sabah,” katanya.

Jazreena berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Majnah Abdillah pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan oleh sekumpulan lelaki Sulu yang bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Saksi juga bersetuju dengan andaian peguam bahawa penemuan dalam laporan tersebut memenuhi permohonan oleh polis untuk mengeluarkan semua data yang relevan dengan operasi.

Terdahulu semasa pemeriksaan utama, Jazreena berkata beliau menerima barang kes daripada dua pegawai polis iaitu ASP Muhammad Zulkifly Mohd Isa dan ASP Zairolnizal Ishak.

Beliau berkata sebaik menerima barang kes, beliau membuat penanda pada setiap barang kes dan menyerahkannya kepada Pengurus Operasi Forensik Digital Fauzi Mohd Darus.

“Selepas membuat penandaan, saya pateri semula barang kes dan menyerahkan barang kes yang diterima daripada ASP Muhammad Zulkifly, kepada Encik Fauzi pada 29 Mac, 2013 sementara barang kes yang diterima daripada ASP Zairolnizal diserahkan kepada Encik Fauzi pada 14 April, 2013,” kata saksi.

“Adakah ASP Muhammad Zulkifly dan ASP Zairolnizal, pada bila-bila masa, memberitahu kamu dari mana mereka mendapat barang kes digital tersebut,” tanya Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin, dan saksi menjawab: “Tidak”.

Jazreena juga berkata beliau tidak dkimaklumkan oleh pegawai polis berkenaan siapa pemilik barang kes tersebut.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas satu hingga pelbagai tuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan