Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan Tidak Pernah Cadang Mansuh GST – Johari

2:21pm 18/10/2016 Pak Roshan 113 views Mutakhir,Nasional

johari

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah bercadang untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan bermula 1 April, 2015.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata ini kerana objektif pelaksanaan GST adalah untuk menyusun semula sistem cukai kepenggunaan negara supaya menjadi lebih telus dan efisien.

“Struktur GST yang dilaksanakan telah mengambil kira kedudukan semasa sosio ekonomi rakyat demi memastikan impak pelaksanaan GST adalah pada tahap minimun kepada rakyat, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

“Pelbagai barangan GST dikenakan kadar sifar manakala perkhidmatan asas dikecualikan daripada GST termasuk barangan asas,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Abdul Hadi ingin mengetahui sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai GST yang sedang dilaksanakan dan mengambil mekanisme lain yang lebih adil, saksama dan tidak membebankan.

Johari berkata kerajaan juga telah menyediakan pelbagai pakej bantuan pelaksanaan GST untuk memastikan impak minimum kepada rakyat termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Disamping itu, kerajan juga telah mengurangkan kadar cukai individu iaitu sebanyak 1.0 peratus hingga 3.0 peratus,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga 10 Okt tahun ini, Johari berkata kerajaan telah berjaya mengutip RM29.34 bilion GST, berbanding RM27.93 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun pelaksanaannya.

“Walaupun kadar GST ditetapkan pada 6.0 peratus, jika kita lihat jumlah barangan yang dikenakan kadar sifar dan dikecualikan, dan kita buat perkiraan semula, GST efektif kita hanya pada kadar 3.6 peratus,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Hadi berkenaan kenaikan harga barangan yang dikenakan kadar sifar atau dikecualikan GST, Johari berkata ia disebabkan oleh para peniaga yang tertekan ekoran pengurangan keuntungan yang diperoleh sejak sistem tersebut dilaksanakan.

“Waktu kita laksana SST (cukai jualan dan perkhidmatan), ia mempunyai banyak ketirisan di mana banyak peniaga yang tidak membayar SST disebabkan ketidakcekapan sistem ini.

“Apabila kita bertukar kepada GST, sudah pasti ia akan sedikit sebanyak memberi peningkatan harga terutamanya bagi barangan asas kerana peniaga-peniaga ini dahulunya tidak membayar atau hanya membayar separuh daripada SST,” katanya.

Johari berkata pelaksanaan GST telah mengekang peniaga ini untuk “lari” daripada GST kerana cukai itu mempunyai “rujukan silang” antara seorang peniaga dengan peniaga yang lain.

“Sistem ini menyebabkan margin mereka tertekan di mana mereka sudah tidak memperoleh keuntungan yang sama seperti semasa mereka tidak membayar SST,” katanya.

Selain itu, katanya, kenaikan harga barangan itu juga mungkin disebabkan oleh para peniaga belum benar-benar arif mengenai senarai barangan yang tidak perlu dikenakan GST. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan