Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,734

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan Sentiasa Beri Keutamaan Kepada Keperluan Dan Isu Pendidikan – Musa Aman

cm3

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keperluan dan isu pendidikan sebagai sebahagian agenda negara.

“Pendekatan pembelajaran sepanjang hayat Kementerian Pendidikan bermakna bukan sahaja kanak-kanak yang paling muda empat tahun sahaja mendapat pendidikan prasekolah secara formal tetapi juga orang dewasa boleh mendapat pendidikan seperti melalui Kelas Dewasa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) yang dilancarkan pada 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis konvokesyen 450 peserta program KEDAP ke-4 di sini Sabtu.

Ucapan beliau dibaca oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun.

Program KEDAP diperkenalkan Kementerian Pendidikan pada 2008 bagi menyediakan pendidikan asas kepada ibu bapa yang buta huruf dalam masyarakat luar bandar.

Menurut Musa kejayaan peserta KEDAP menamatkan program mereka telah meningkatkan kadar celik huruf di negara ini dan ia menjadi perangsang kepada generasi muda mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.

“Seperti kita tahu pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan generasi akan datang yang cemerlang.

“Saya ingin meyakinkan anda bahawa kerajaan Sabah secara berterusan meningkatkan tahap pendidikan di sini. Selain biasiswa kerajaan memperuntukkan wang yang banyak kepada sekolah pelbagai aliran setiap tahun,” jelasnya.

Semua 450 peserta KEDAP yang berumur antara 25 dan 83 tahun menerima sijil tamat program dari Masidi. Mereka menghabiskan masa antara enam dan tujuh bulan untuk menamatkan program itu di 18 sekolah rendah di seluruh Sabah.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Jame Alip.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan