Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan Sarawak Tidak Anti Orang Semenanjung

sarawak

KUCHING – Kerajaan Sarawak tidak sepatutnya dianggap menyekat kemasukan orang semenanjung ke negeri ini, kata Menteri Perumahan Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Persepsi seperti itu tidak betul dan berniat jahat, katanya ketika berucap pada mesyuarat pertama tahun ini bagi semua jabatan dan agensi kerajaan di Sarawak yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Abang Johari dilantik pada tahun lepas untuk menerajui jawatankuasa penyelaras bagi semua jabatan dan agensi berkenaan.

“Kami hanya menyekat kemasukan personaliti tertentu yang diketahui memiliki pandangan perkauman dan keagamaan melampau.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab memelihara perpaduan dan hubungan dalam kalangan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menguatkuasakan hak autonomi imigresennya bagi tujuan itu dan ia merupakan keputusan bersama semua anggota kabinet negeri ini.

“Sudah tentu kami mengalu-alukan kedatangan semua rakyat Malaysia yang bersikap sederhana ke negeri ini. Tapi, kami akan menggunakan hak kami terhadap mereka yang datang hanya untuk mengganggu kami,” katanya.

Mengenai perasaan tidak puas hati sesetengah pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tentang kehadiran beliau pada persidangan tiga tahun sekali pertama Parti Rakyat Bersatu (UPP) pada 11 Jan di sini, Abang Johari berkata ia tidak sepatutnya menjadi isu.

“Saya menghadirinya sebagai seorang menteri kanan yang berkecuali dan bukan mewakili Barisan Nasional (BN) negeri.

“Presiden UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh, adalah seorang menteri negeri. Lagi pun, UPP dan Teras (Parti Tenaga Rakyat Sarawak) telah membayangkan bahawa mereka berdiri teguh di belakang BN. Kami ingin pastikan kedua-dua parti itu kekal sebagai parti mesra BN,” katanya.

Abang Johari, yang juga timbalan presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tulang belakang BN di negeri ini, berkata SUPP, UPP, SPDP (Parti Demokratik Progresif Sarawak) dan Teras perlu mencari penyelesaian secara baik bagi menyelesaikan masalah masing-masing.

“(Ketua Menteri Tan Sri) Adenan (Satem), sebagai ketua BN negeri, mempunyai kata putus siapa yang patut mewakili atau terus mewakili BN pada pilihan raya negeri akan datang, yang boleh diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang hingga 20 Jun, 2016,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan