Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KERAJAAN SABAH UCAP TAHNIAH KEPADA ANWAR

 

Shafie ketika ditemui pemberita di Penampang tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PENAMPANG: Presiden PKR yang baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memastikan sumbangan berterusan parti itu dalam membawa perubahan besar terhadap pembangunan negara seperti yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia.

Semasa diminta mengulas mengenai kemenangan Anwar, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, rakyat jelata mengharapkan perubahan besar yang akan dibawa oleh PKR selaras dengan kemahuan dan kehendak mereka.

“Kita mengucapkan tahniah kepada Anwar yang menang tanpa bertanding. Ini merupakan satu proses yang dilakukan sesebuah parti mengikut lunas-lunas peraturan yang ada.

“Kita berharap kesatuan PKR itu dapat dimantapkan untuk membolehkan kita dapat membuat perubahan yang kita laungkan kepada rakyat,” katanya selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah di perkarangan bangunan Majlis Daerah Penampang, hari ini.

Anwar mengambil alih jawatan Presiden PKR tanpa bertanding selepas isteri beliau, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan PKR yang diadakan semalam.

Bagaimanapun, Wan Azizah kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kanak-kanak sekolah mengibarkan Jalur Gemilang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bahawa sambutan kemerdekaan tidak wajar dibuat secara `keterlaluan’ (over celebrate) baru-baru ini, Mohd. Shafie menyifatkan tindakan pihak tersebut sebagai sekadar membuat `bising’.

“Kita mahu membangunkan negeri lebih penting daripada orang-orang yang membuat perkara tidak masuk akal ini.

“Yang penting kepada kita ialah misi kemerdekaan, bukan mengisi dengan pertelingkahan. Kita perlu mengisi program kemerdekaan tentang bagaimana mengisi keperluan rakyat,” ujarnya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan