Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan Sabah Serah Geran Tanah Kepada 459 Penduduk Di Sandakan, Kinabatangan

cm

KINABATANGAN : Setelah menunggu lebih 50 tahun, impian 459 penduduk di enam kampung di Kinabatangan dan Sandakan memiliki tanah sendiri tercapai apabila mereka menerima geran tanah mereka itu daripada kerajaan negeri Sabah.

Geran tanah mereka itu disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam satu majlis di Kampung Sukau dekat sini, hari ini.

Sejumlah 318 penerima dari Skim Penempatan Suan Lamba, Sandakan, manakala 141 penerima dari lima kampung di Kinabatangan iaitu Perpaduan, Sentosa Jaya, Batu Putih, Perpaduan Datu Ugi dan Bukit Garam.

Berucap pada majlis itu, Musa berkata pemberian geran tanah berstatus individu itu bagi membolehkan penduduk kampung terlibat memiliki tanah sendiri yang mereka pohon lebih 50 tahun lepas.

Katanya ia sejajar dengan komitmen kerajaan dalam mendengar permintaan rakyat dan mencari jalan terbaik menyelesaikannya biarpun ia mengambil masa.

“Tanah itu adalah hak rakyat dan ia diturunkan kepada rakyat. Tanah rakyat kembali kepada rakyat,” katanya.

Musa berkata kerajaan negeri sebelum ini telah banyak mengagihkan tanah yang dipohon rakyat Sabah dengan kebanyakan diberi secara geran komunal.

Katanya mereka perlu membangunkan tanah itu khususnya untuk aktiviti pertanian atau pelancongan yang boleh menjana pendapatan.

Dalam pada itu, seorang penerima geran tanah, Ambun Said, 75, dari Kampung Perpaduan berkata dia memohon tanah di kampung itu sejak 50 tahun lepas.

Menurutnya pada peringkat awal, keluasan tanah yang diterimanya adalah 3.2 hektar daripada enam hektar yang dipohonnya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan