Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan Sabah Sentiasa Prihatin Keperluan Masyarakat Cina – Radin

TENOM, 24 Mei (Bernama) — Kerajaan Sabah sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat berbilang kaum di negeri ini termasuk masyarakat Cina, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Radin Malleh.

Beliau berkata kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sentiasa menyokong penganjuran pelbagai perayaan termasuk melibatkan kaum Cina seperti Duan Wu atau Perayaan Perahu Naga dalam usaha masyarakat berkenaan memelihara, mengamal dan mengembangkan kebudayaan mereka.

“Kita tentunya mendengar pelbagai inisiatif terutama sumbangan peruntukan tahunan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah kepada badan-badan kebudayaan pelbagai kaum di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Duan Wu Tenom 2017 di sini, malam tadi.

Radin berkata kebudayaan pelbagai etnik di negeri ini, termasuk masyarakat Cina, telah berkembang menjadi salah satu produk pelancongan yang mampu menjana ekonomi Sabah dan Malaysia amnya.

Beliau berkata sambutan perayaan Duan Wu di Tenom itu boleh dijadikan wadah untuk mempromosi pelbagai jenis makanan tradisi Cina seperti ketupat Cina (zongzi) kepada orang ramai sekali gus menjadikan perayaan itu sebagai produk pelancongan Tenom.

“Sebab itu saya sering menekankan bahawa masyarakat Cina di Tenom perlu berusaha untuk menghasilkan zongzi buatan Tenom yang dapat diketengahkan sebagai satu lagi produk berkualiti popular di pasaran selain kopi Tenom, chongken Tenom dan tauhu Tenom,” katanya.

Justeru, Radin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, berkata kerjasama erat di antara kerajaan negeri dan badan-badan kebudayaan suku kaum di Sabah amat penting untuk memartabatkan kebudayaan masing-masing ke tahap lebih tinggi.

“Saya gembira melihat kerjasama erat Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) Tenom, Pekan Tenom, Tenom Barat serta Persatuan Kebajikan Kapitan Cina Tenom yang sentiasa positif terhadap dasar-dasar kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat Cina di daerah Tenom supaya bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani anasir-anasir tertentu yang ingin merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum di daerah berkenaan.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan